BERSATU sudah tersasar daripada perjuangan asal dan kini berdepan “krisis kewujudan”, kata pengasas bersama parti Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi.
Ahli majlis tertinggi Bersatu itu berkata parti berkenaan kini berdepan krisis identiti kerana ia pada asalnya ditubuhkan untuk menolak rasuah namun kini ada ahlinya yang hanya mahu memperkayakan diri sendiri.
“Bersatu berdepan krisis kewujudan. Antara masalahnya sekarang adalah ada pemimpin yang berpegang kepada dasar ‘Apa aku dapat’.
“Di tengah-tengah pemilihan parti, mereka mendukung prinsip ini,” kata Akhramsyah kepada The Malaysian Insight.
Pemimpin berusia 47 tahun itu mendakwa terdapat beberapa pemimpin yang melakukan amalan “tidak baik” termasuk menulis surat sokongan untuk jawatan dan kontrak yang mana ia bertentangan dengan struktur asal parti.
Akhramsyah berkata ini menghalang ahli baharu yang berkualiti daripada menyertai parti, terutamanya golongan muda yang berada dalam kelompok itu sejak akhir 2018.
“Sekarang ini menjadi lebih buruk kerana seorang timbalan menteri dituduh mengirim surat kepada perdana menteri untuk mendapatkan jawatan.
“Sekiranya belia jenis ini yang kita mahu tarik, kita akan tewas kepada Umno. Umno sudah diketahui sejak sekian lama mengamalkan penulisan surat begini dan ada track rekod menarik golongan belia seperti ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada video Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad yang mendakwa beliau boleh menulis surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk golongan muda dalam Bersatu mendapatkan pekerjaan dan jawatan.
Tambah Akhramsyah parti itu telah meninggalkan prinsip asasnya ketika memutuskan untuk bekerja dengan Umno, yang dianggap sebagai “parti kleptokratik” sebelum pilihan raya umum ke-14.
“Kami telah mengorbankan prinsip untuk kuasa atau apa yang kami anggap selesa dalam kuasa. Hasilnya sekarang kita bergantung pada kleptokrat untuk kekal dalam pemerintahan. Ini tidak akan kekal,” katanya.
Akhramsyah yang merupakan anak bekas menteri kabinet Sanusi Junid berkata Umno dan rakan-rakan Perikatan Nasional yang lain tidak menghormati Bersatu, seterusnya mengakibatkan anggotanya sendiri kehilangan kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin oleh Muhyiddin.
Sedia untuk dipecat
Akhramsyah berkata beliau tidak takut dipecat oleh parti kerana menyuarakan kebenaran kerana menjadi tanggungjawabnya untuk menjelaskan kepada ahli parti apa yang sedang berlaku.
“Sebagai pemimpin dan salah seorang pengasas parti, adalah tanggungjawab saya untuk menjelaskan kepada ahli. Kebenaran mengenai penubuhan parti, dan kebenaran mengenai mana hala tujunya sekarang.
“Cita-cita parti tidak berubah tetapi amalan semasa tidak sesuai dengan cita-cita yang asal. Perlu ada pembetulan (dalam hala tuju parti),” katanya.
Akhramsyah mahu dipilih semula sebagai ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung dan memanfaatkan pencalonannya untuk melihat anggota di seluruh negara sebagai calon yang berjuang untuk menegakkan perjuangan asal parti.
Ketika ditanya mengenai kesan yang mungkin beliau hadapi dari parti itu kerana bersuara, Akhramsyah mengatakan bahawa beliau tidak bimbang untuk menghadapi tindakan disiplin kerana itu adalah tindakan yang betul.
“Sekiranya parti itu memilih untuk memecat saya kerana ini, maka jelas ini bukan parti yang saya bantu untuk tubuhkan.”

Bersatu berdepan perpecahan berikutan pertelagahan antara bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Muhyiddin.
Dr Mahathir mahu kekal dalam Pakatan Harapan manakala Muhyiddin berjaya menarik Bersatu keluar dari gabungan berkenaan yang menyebabkan kejatuhan kerajaan itu.
Muhyiddin kemudiannya bekerjasama dengan Umno, PAS, GPS dan parti Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan persekutuan.
Dr Mahathir yang cuba untuk kekal berkuasa dalam parti mendapati mereka hilang keahlian secara automatik kerana menyokong pembangkang.
Oleh kerana mencabarnya melalui undang-undang, Dr Mahathir kini menubuhkan sebuah parti Melayu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Beberapa pemimpin Bersatu turut bertindak keluar parti untuk menyertai Pejuang.
Akhramsyah sendiri dilihat hadir pada majlis memperkenalkan calon Pejuang pada pilihan raya kecil DUN Slim awal minggu ini.
“Saya berada di sebuah acara yang menyokong perjuangan ketua, yang masih Dr Mahathir. Sebenarnya saya terkejut kerana lebih ramai pemimpin Bersatu tidak ada di sana,” katanya. – 15 Ogos, 2020.
Komen