MALAYSIA tidak akan bergantung kepada sumber tenaga nuklear namun akan melabur dalam sumber tenaga yang boleh diperbaharu lain, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata kerajaan Perikatan Nasional telah memutuskan untuk mengekalkan pendirian yang diambil kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini berhubung isu berkenaan.
“Buat masa ini kita tidak akan mengubah keputusan yang dibuat kerajaan PH untuk tidak memajukan tenaga nuklear,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah ahli Parlimen Rembau, terdapat banyak lagi sumber boleh diperbaharui lain yang boleh dimajukan kerajaan.
“Kita berpandangan bahawa kita mahu membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui terlebih dahulu, Banyak sumber lain yang masih belum diteroka,” kata Khairy.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan Malaysia mungkin akan pertimbangkan sumber tenaga nuklear pada masa akan datang.
“Bukan masa sekarang, bukan mengatakan tidak. Tenaga nuklear tidak berdaya maju buat masa ini,” kata Khairy.
Kerajaan PH sebelum ini menangguhkan pembinaan loji tenaga nuklear atau meneroka tenaga nuklear.
Pada Februari tahun lalu, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak akan gunakan tenaga nuklear sebagai tenaga boleh diperbaharui kerana kepakaran negara dalam bidang ini tidak mencukupi.
Menurutnya, sehingga kini dunia masih belum dapat mencari cara terbaik untuk melupuskan sisa radioaktif yang terhasil daripada tenaga itu.
Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional merancang untuk membangunkan dua loji tenaga nuklear menjelang 2030. – 14 Ogos, 2020.
Komen