DUA puluh kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes 9,149.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata daripada jumlah itu, 13 merupakan penularan tempatan membabitkan warga Malaysia manakala tujuh adalah kes import.
Beliau berkata kluster baharu turut dikesan di Kedah iaitu kluster Muda.
“Dalam penularan tempatan membabitkan warga Malaysia, 10 kes dilaporkan dalam kluster Tawar, satu dari kluster Muda, satu kes jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan yang terakhir adalah daripada Pulau Pinang yang mempunyai kontak rapat dengan seorang individu positif Covid-19,” katanya.
Bagi pecahan tujuh kes import, tiga adalah dari Lubnan dan satu masing-masing dari Indonesia, Perancis, Yaman dan Taiwan.
Jumlah kes aktif kini adalah 196.
Terdapat tujuh kes puluh setakat tengah hari, hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih 8,828.
Empat pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan seorang daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Tiada kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya kekal 125 atau 1.37% daripada jumlah keseluruhan kes. – 14 Ogos, 2020.
Komen