RANG Undang-undang (RUU) berkenaan langkah sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19 yang dibentangkan oleh Putrajaya sudah terlalu lewat dan banyak kelemahan, kata wakil rakyat DAP Ong Kian Ming.
Ahli Parlimen Bangi itu berkata ada beberapa masalah dengan RUU itu, malah paling awal pun RUU itu dapat diwartakan ialah pada hujung September.
“Akhir September ialah lebih enam bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac, 2020.
“Tambahan pula, jika tindakan dan tuntutan undang-undang tertentu dimulakan atau diselesaikan sebelum RUU ini berkuatkuasa, perlindungan yang diberikan oleh RUU ini tidak dapat digunakan.
“Dengan kata lain, RUU ini sudah terlambat dan terlewat dan tidak akan membantu kumpulan yang paling terjejas akibat daripada MCO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan pertama pada dua hari lalu.
Ia bertujuan untuk melindungi pihak-pihak yang tidak dapat melaksanakan obligasi kontraktual akibat daripada PKP.
Bagaimanapun, Ong berkata RUU itu bermasalah kerana sebahagian lain daripadanya menolak perlindungan yang diberikan.
Ini jelas daripada Seksyen 10 RUU itu yang menyatakan Seksyen 10 RUU “mana-mana kontrak yang ditamatkan, mana-mana deposit atau bon pelaksanaan yang dilucut hak, ganti rugi yang diterima, prosiding undang-undang, timbang tara atau pengantaraan yang dimulakan, penghakiman atau award yang diberikan dan pelaksanaan yang dijalankan bagi tempoh dari 18 Mac, 2020 hingga tarikh penyiaran akta ini hendaklah disifatkan ditamatkan, dilucut hak, diterima, dimulakan, diberikan atau dijalankan dengan sah”.
Ong berkata kesan Seksyen 10 adalah penafian perlindungan yang diberikan di Sekysen 7 kepada mereka yang paling terjejas akibat daripada PKP.
“Kemungkinan tinggi kesannya ialah lebih ramai penuntut untuk segera mengemukakan tuntutan undang-undang mereka terhadap syarikat tertentu dalam beberapa bulan ini sebelum akta ini berkuatkuasa,” katanya.
Beliau juga menunjukkan beberapa kelemahan lain dalam RUU itu yang mungkin akan memberi insentif kepada pemiutang untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap penghutang sebelum akta ini berkuatkuasa.
Ini kerana RUU itu menyatakan prosiding, tindakan atau perkara lain yang perlu dilakukan di bawah Akta Insolvensi 1967 yang belum selesai sebaik sebelum tarikh penyiaran akta ini hendaklah diuruskan di bawah Akta Insolvensi 1967 seolah-olah Akta Insolvensi 1967 tidak diubahsuai oleh akta ini.
Beliau berkata kelemahan sama juga terdapat di Seksyen lain seperti merampas barang jika berlaku kemungkiran di bawah Akta Sewa Beli 1967, kegagalan pembayaran ansuran di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, caj pembayaran lewat yang dikenakan oleh pemaju terhadap pembeli harta tanah di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 dan penyitaan aset sebagai ganti tunggakan sewa di bawah Akta Distres 1951.
RUU itu juga lemah dalam memperincikan klausa mediasi yang tidak mengandungi butiran jelas dan kurang terperinci akan memberi galakkan kepada lebih banyak pihak untuk mengajukan tuntutan undang-undang dalam beberapa bulan ini sebelum akta berkuatkuasa.
“Enam bulan kemudian, apa yang kita ada sekarang adalah RUU Covid yang penuh dengan kelemahan, terlambat dan terlewat,” katanya. – 14 Ogos, 2020.
Komen