KERAJAAN sudah membelanjakan RM96 juta sejak Januari bagi ujian Covid-19 yang dijalankan terhadap lebih sejuta individu, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan mula melakukan ujian dan pemeriksaan Covid-19 sejak Januari 2020, ketika virus pertama kali dikenal pasti dan peralatan bagi ujian tersedia.
“Setakat ini, kementerian sudah membelanjakan RM96 juta untuk reagen dan alat uji untuk pemeriksaan Covid-19,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong).
Beliau menambah pada 6 Ogos, sejumlah 1,012,660 individu menjalani ujian saringan Covid-19 di Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, sejumlah 72,736 bukan warganegara diperiksa (7.2%) dan 2,683 daripadanya dikesan positif Covid-19.
“Ada individu yang menjalani ujian lebih daripada sekali. Sebanyak 1,867,673 ujian saringan Covid-19 telah dilakukan,” katanya.
Beliau juga berkata terdapat 55 kemudahan awam dan swasta menjalankan ujian Covid-19, yang melibatkan ujian Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit (Antigen) (RTK Ag).
Dari angka saringan yang diberikan, Adham berkata 1,742,302 individu menjalani RT- PCR, sementara 125,371 melakukan RTK Ag.
Adham juga berkata aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit adalah penting dalam membendung penyebaran penyakit termasuk Covid-19. – 14 Ogos, 2020.
Komen