JIKA vaksin Covid-19 terbukti berkesan, Amerika Syarikat (AS) akan memastikan ia diagihkan secara percuma kepada semua rakyatnya, kata pegawai pada Khamis dan menegaskan tiada jalan pintas berhubung keselamatan.
“Kami sama sekali tidak berkompromi dengan peraturan dan kami akan menilai dan berharap dapat meluluskan vaksin,” kata Paul Mango, seorang pegawai kanan jabatan kesihatan, kepada wartawan.
Washington melaburkan lebih AS$10 bilion dalam enam projek vaksin dan menandatangani kontrak yang menjamin pengagihan ratusan juga dos jika diluluskan selepas ujian klinikal dilakukan.
Dos vaksin itu juga akan dibayar oleh kerajaan.
Doktor atau klinik yang menguruskannya harus dibayar tetapi kos berkenaan sebahagian besarnya akan ditanggung oleh syarikat insurans swasta dan awam.
“Kebanyakan” syarikat insurans komersil bersetuju mengetepikan sebarang kos tambahan kepada pelanggan mereka, kata Mango.
“Kita berada di landasan tepat untuk memberikan ratusan juta dos menjelang Januari 2021,” tambahnya.
Francis Collins, pengarah Institut Kesihatan Nasional (NIH), berkata beliau optimis sekurang-kurangnya satu daripada enam vaksin dilaburkan AS akan siap akhir tahun ini.
Pengkritik Presiden Donald Trump meluahkan kebimbangan pihak pentadbiran mungkin mengabaikan langkah keselamatan dalam mengumumkan vaksin sebelum pilihan raya pada 3 November - tuduhan yang dinafikan Mango.
Rusia minggu ini meluluskan vaksin bahkan sebelum permulaan fasa terakhir ujian klinikal, di mana ubat itu disuntik ke dalam puluhan ribu sukarelawan untuk mengesahkan keberkesanan dan keselamatannya.
“Saya berharap Rusia membuktikan secara pasti vaksin itu selamat dan berkesan, tetapi saya benar-benar meragui mereka telah melakukannya,” kata Anthony Fauci, pegawai penyakit berjangkit AS pada panel maya yang dihoskan oleh National Geographic. – AFP, 14 Ogos, 2020.
Komen