Makanan selamat daripada koronavirus, kata WHO


PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis menggesa semua agar tidak bimbang jangkitan koronavirus daripada makanan, selepas China menemuinya pada makanan dan bungkusan makanan.

Virus itu dijumpai pada Selasa di bandar Shenzhen di China semasa pemeriksaan rutin terhadap sampel sayap ayam beku yang diimport dari Brazil, kata pihak berkuasa bandar.

Pihak berkuasa berkata mereka segera memeriksa individu yang ada kontak dengan produk tercemar, serta ahli keluarga, dan semua ujian didapati negatif.

Di wilayah Anhui timur China, datuk bandar Wuhu mengumumkan pada Khamis virus itu ditemui pada bungkusan udang diimport dari Ecuador, yang disimpan di dalam peti sejuk restoran.

WHO berkata tidak perlu panik - dan tiada contoh penyakit pernafasan tersebar melalui makanan.

“Orang sudah cukup takut dan bimbang dengan pandemik Covid,” kata pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan pada sidang media maya di Geneva.

“Orang tidak perlu bimbang makanan atau pembungkusan makanan atau pemprosesan atau penghantaran makanan.

“Tiada bukti makanan atau rantaian makanan terlibat dalam penularan virus ini.

“Makanan kita selamat daripada perspektif Covid.”

Maria Van Kerkhove, ketua teknikal Covid-19 WHO, berkata badan kesihatan PBB itu sedar mengenai laporan tersebut dan memahami China sedang mengkaji virus pada bungkusan makanan.

“Mereka telah menguji beberapa ratus ribu sampel dengan melihat aspek pembungkusan dan mendapati, sangat sedikit, kurang dari 10 positif ketika melakukannya,” katanya.

“Kami tahu virus dapat bertahan di permukaan untuk beberapa waktu.

“Jika virus benar-benar ada dalam makanan - kami tiada contoh virus ini ditularkan melalui makanan dan seseorang telah memakan produk makanan itu - virus tersebut boleh dimatikan, seperti virus lain juga, jika daging itu dimasak.” – AFP, 14 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen