PIHAK berkuasa kesihatan Perancis pada Khamis memberi amaran yang kes koronavirus baharu meningkat paling cepat di kalangan golongan muda, ketika jumlah jangkitan yang disahkan setiap hari terus meningkat.
Di tanah besar Perancis, peningkatan kes pada minggu 3-9 Ogos adalah paling cepat di kalangan mereka yang berusia 15 hingga 44 tahun, kata badan kesihatan awam di kementerian kesihatan, menyebutnya sebagai “situasi membimbangkan”.
Secara keseluruhan, 2,669 ujian didapati positif dalam tempoh 24 jam terakhir, tambahnya, menunjukkan “pertumbuhan berkala” dalam kes baru setiap hari.
Angka itu lebih tinggi berbanding 2,524 pada Rabu, merupakan jumlah tertinggi sejak Mei.
Antara jangkitan baharu adalah 50 anggota separa tentera yang berpusat di Tarbes, barat daya Perancis, daripada sekumpulan 82 individu yang baharu saja kembali dari kerahan di Polynesia, kata jabatan wilayah di Hautes-Pyrenees.
Richard Peabody, ahli epidemiologi yang mengetuai High Threat Pathogens Team di Pejabat Wilayah Pertubuhan Kesihatan Sedunia World bagi Eropah, memberi amaran yang kecuaian terhadap langkah kawalan jangkitan menyebabkan peningkatan jumlah kes di seluruh benua.
“Jika anda tidak mengambil berat terhadap virus, maka ia akan kembali,” katanya dan menggesa kerajaan Eropah mengambil teladan ketika awal kemunculan wabak.
Setakat ini hampir 30,400 orang meninggal dunia akibat koronavirus di Perancis - 17 orang dalam tempoh 24 jam - dan 374 orang kini dalam unit rawatan rapi. – AFP, 14 Ogos, 2020.
Komen