Kumpulan Hindu mahu Muhyiddin lebih berani dan usir Zakir Naik


Ravin Palanisamy

Pendakwah kontroversi dari India, Zakir Naik pada tahun lalu menimbulkan kekecohan ketika menyampaikan ceramah berbaur perkauman dalam perhimpunan di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

TERDAPAT gesaan baharu daripada kumpulan Hindu agar pendakwah dalam buruan, Zakir Naik dihantar pulang ke India untuk menghadapi tuduhan jenayah.

Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin agar membuat keputusan berani dan tidak membuat kesalahan sama dilakukan oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang membenarkan pendakwah kontroversi itu terus berada di sini.

Penasihat kumpulan Arun Dorasamy memberitahu The Malaysian Insight, Muhyiddin perlu menunjukkan kepimpinan dengan mengusir Zakir.

“Seorang pemimpin harus tegas dan berani, dan dalam hal ini, bukannya membuat keputusan yang popular, Muhyiddin harus membuat keputusan yang tepat.

“Ada pendakwaan jenayah yang belum selesai, biarkan beliau menghadapinya,” kata Arun kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata Muhyiddin tidak boleh merosakkan hubungan dua hala yang baik antara India dan Malaysia dengan melindungi pendakwah dalam buruan itu.

“Malaysia dan India tidak hanya mempunyai hubungan perdagangan yang baik tetapi kita mempunyai hubungan budaya dan sejarah yang wujud sejak bertahun yang lalu.”

India mendakwa Zakir dengan pengubahan wang haram berhubung aktiviti melibatkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang berpusat di Mumbai.

Kertas pertuduhan terhadap Zakir, yang difailkan di mahkamah khas Mumbai di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram di India, mengenal pasti aset jenayah bernilai RM113 juta.

Komen Arun ini susulan kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini kepada media India WION yang Zakir kemungkinan besar akan dihantar ke negara lain agar “beliau selamat”.

Dr Mahathir juga sebelum ini berkata Zakir tidak akan dibicarakan dengan adil di India.

Arun berkata Dr Mahathir tidak boleh membuat komen atau andaian mengenai sistem kehakiman India, sambil menambah sebagai negara demokrasi terbesar di dunia, ia akan memberikan perbicaraan yang adil kepada Zakir.

Zakir pada tahun lalu menimbulkan kekecohan ketika menyampaikan ceramah berbaur perkauman dalam perhimpunan di Kelantan yang dipimpin PAS.

Ini menyebabkan kritikan terhadap pendakwah kontroversi itu dan beliau membalasnya dengan memfailkan saman lima individukerana fitnah.

Mereka adalah bekas menteri sumber manusia M Kulasegeran, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ll P Ramasamay, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam M Satees dan bekas duta Dennis Ignatius.

Zakir, yang diberi status pemastautin tetap di sini semasa pemerintahan Barisan Nasional, juga dikatakan memiliki kewarganegaraan Arab Saudi. – 14 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen