PERBELANJAAN dibiayai hutang adalah cara mengatasi krisis berkembar wabak Covid-19 dan kelembapan ekonomi, kata ahli ekonomi.
Berbelanja lebih banyak, walaupun ia bermakna menaikkan had siling hutang negara adalah keperluan ketika ini, kata mereka mengulas pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19), bagi membolehkan lebih banyak pembiayaan untuk mengurangkan kesan wabak kepada ekonomi.
RUU itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama mahu meningkatkan had siling pinjaman kerajaan daripada 55% kepada 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Hari ini, Bank Negara Malaysia juga akan mengumumkan suku kedua KDNK negara, pakar ekonomi menganggarkan ia akan menguncup sehingga 17%.
Felo Kanan Institut Kajian Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar berkata dasar fiskal yang memerlukan kerajaan berbelanja lebih banyak diperlukan untuk terus menggerakkan ekonomi.
“Saya tak risau tentang naikkan had hutang. Dalam situasi luar biasa seperti sekarang, meminjam lebih banyak adalah satu penyelesaian,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perolehan kerajaan dijangka jatuh kerana penutupan perniagaan selama dua bulan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), serta kebanyakan syarikat dan isi rumah mengurangkan perbelanjaan mereka.
“Biasa lah dalam krisis sebegini perolehan kerajaan, kepenggunaan dan eksport net, semuanya jatuh. Disebabkan kejatuhan permintaan, sangat mustahak untuk perbelanjaan kerajaan dinaikkan,” katanya.
Kebimbangan sebenar sekarang adalah bagaimana perbelanjaan itu disalurkan kepada sektor perniagaan dan kumpulan penduduk bersasar.
“Mereka patut sensitif dengan kebimbangan penyerakan,” kata Shankaran.
Profesor Ekonomi Sekolah Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata untuk membiayai defisit fiskal, kerajaan perlu menaikkan perbelanjaannya melebihi had hutang 55% yang ditetapkan.
Kementerian Kewangan meramalkan defisit fiskal untuk 2020 sekitar 5.8% dan 6%. – 14 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen