Kakitangan diberhentikan kerja perlu diberi kaunseling, kata Nufam


Ragananthini Vethasalam

Kakitangan syarikat penerbangan yang diberhentikan kerja perlu diberikan kaunseling bagi membantu mereka mengatasi situasi tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

SYARIKAT penerbangan yang mempunyai rancangan untuk memberhentikan lebih ramai kakitangan perlu memberikan kaunseling yang betul bagi membantu mereka mengatasi situasi tersebut, kata Kesatuan Kebangsaan Atendan Penerbangan Malaysia (Nufam).

Perkara ini perlu diwajibkan industri dijangka akan memberhentikan lebih ramai pekerja dalam beberapa bulan mendatang kesan daripada pandemik Covid-19.

Sumber industri juga berkata mereka memerlukan masa dua hingga tiga tahun lagi sebelum syarikat penerbangan kembali stabil.

Presiden Nufam Ismail Nasaruddin memberitahu The Malaysian Insight bahawa sesi kaunseling sepatutnya sudah bermula kerana syarikat penerbangan sudah memberhentikan ratusan kakitangan sejak wabak itu bermula.

“Sesi kaunseling juga wajib dibuat dan semua pembiayaan untuk sesi itu harus ditanggung oleh syarikat penerbangan. Langkah mandatori mesti dikenakan kepada syarikat yang mahu mengurangkan pekerja.

“Langkah seperti itu akan mengelak atau menjadikan syarikat penerbangan berhati-hati dengan pembiayaan mereka untuk melakukan pemberhentian yang tidak perlu,” katanya.

Mereka juga mendesak Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan untuk meneliti cadangan tersebut.

Ismail berkata kesatuan sudah menerima aduan pemberhentian pekerja yang tidak adil.

“Kita telah menyaksikan ribuan orang hilang pekerjaan sejak wabak Covid-19 dan ramai pekerja terjejas mengadu kepada kesatuan kerana cara pemberhentian kerja yang tidak adil dilakukan oleh syarikat penerbangan.

“Nampaknya kurang penguatkuasaan untuk mengekang pemberhentian pekerja kerana syarikat diberi kebebasan untuk menyalahgunakan undang-undang.

“Ada keperluan serius untuk memantau dan mengelak syarikat penerbangan menyalahgunakan kuasa mereka untuk memberhentikan pekerja ini sewenang-wenangnya,” katanya.

Awal bulan ini seorang lelaki dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 12 sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Serdang selepas berdepan tekanan akibat kehilangan kerja sebagai juruterbang dua bulan sebelum itu.

Mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan mengalami kemurungan dan tekanan selepas hilang pekerjaan.

Nufam berkata bahawa ada keperluan serius untuk memantau syarikat penerbangan menyalahgunakan kuasa mereka untuk memberhentikan pekerja dengan sewenang-wenangnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad Kapten Izham Ismail berkata pihaknya selalu mengutamakan orang ramai sama ada pelanggan atau pekerja.

“Sebelum ini kumpulan secara proaktif sudah mengambil langkah untuk memastikan kesejahteraan pekerja kami dan memperkenalkan Program Bantuan Pekerja (EAP) pada Mac untuk memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan psikososial (mental, sosial, emosi dan rohani) kesihatan.

“EAP sudah menjadi blok awal untuk program kesejahteraan pekerja yang lain seperti menyediakan komunikasi dan penglibatan pekerja secara berterusan untuk meningkatkan kesedaran dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu, akses ke kursus bimbingan kewangan dan literasi kewangan melalui hubungan dengan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) dan badan kewangan lain,” katanya.

Beliau berkata Malaysia Airlines baru-baru ini melancarkan aplikasi MHeart Naluri yang dibangunkan oleh pekerja sebagai platform digital 24/7 untuk sokongan psikologi dan kaunseling pengurusan kesihatan dengan jurulatih, doktor, psikologi dan kaunselor sebenar.

“Aplikasi ini mendorong menjalani gaya hidup sihat, yang akan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental pekerja kita,” katanya.

The Malaysian Insight juga telah menghubungi Malindo Air dan AirAsia untuk melihat adakah mereka juga akan mempertimbangkan perkhidmatan tersebut terhadap kakitangan mereka.

Malindo belum memberi maklum balas sementara AirAsia enggan memberikan sebarang komen.

Industri penerbangan sudah menjadi salah satu sektor yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 apabila sempadan ditutup dan sekatan perjalanan dilaksanakan untuk mengekang penyebaran virus.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong baru-baru ini berkata pasaran perjalanan udara domestik akan mengambil masa 18 bulan untuk pulih dari kesan wabak koronavirus.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sebelum ini berkata bahawa industri penerbangan akan mengambil masa dua atau tiga tahun untuk pulih, mencatatkan prospek menurun setelah pemulihan trafik penumpang pada Jun lebih perlahan dari yang dijangkakan.

Seramai 172 juruterbang, 111 anak kapal dan 50 jurutera dilaporkan diberhentikan kerja dari kumpulan AirAsia.

Pada 3 Jun AirAsia mengadakan sesi taklimat untuk memaklumkan kepada kakitangan dari pelbagai jabatan mengenai pemberhentian kerja sebagai salah satu usaha pengecilan operasi.

Bagi Malindo, syarikat penerbangan hibrid itu menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada pekerja tetap dan kontrak serta cuti tanpa gaji jangka panjang selama setahun, setelah itu status pekerjaan mereka dengan syarikat akan dimaklumkan.  – 14 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen