Letak jawatan PM kerana Bersatu khianat, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi bahawa Pakatan Harapan jatuh kerana Bersatu khianat bukan kerana beliau letak jawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2020.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tampil menjelaskan sekali lagi bahawa beliau meletak jawatan Februari lalu kerana dikhianati Bersatu.

Beliau membidas kenyataan Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) tak patut dipersalahkan dalam isu keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Wakil rakyat itu dalam kenyataannya berkata, Perikatan Nasional hanya menjatuhkan kerajaan PH kerana bekas perdana menteri itu yang meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Dr Mahathir dalam celahannya kemudian berkata beliau tidak letak jawatan tetapi sebaliknya tidak lagi menjadi perdana menteri kerana parti Bersatu keluar PH.

“Saya tak letak jawatan. Tapi ahli dari kerajaan mungkin tak faham cara perlembagaan kita,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu seterusnya menjelaskan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri kerana Bersatu bertindak keluar PH.

“Bila Bersatu keluar PH maka PH pun jatuh tak jadi kerajaan lagi. Kalau tak jadi kerajaan macam mana saya nak jadi perdana menteri.

“Jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi? Saya dah letak jawatan. Saya fikir ini macam payah nak faham, nak kena ulang perkara ini berkali-kali.

“Macam tak boleh dengar ke, tak taulah,” katanya yang kecewa kerana isu tersebut masih dibangkitkan.

Dr Mahathir juga menjelaskan, keputusan itu tidak dibuat olehnya sendiri tetapi selepas berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya cuma beritahu kepada Agong, ini bukan bermakna saya letak jawatan sendiri.

“Apabila parti saya keluar PH, PH tak jadi kerajaan lagi and semua anggota PH tentulah tergugur kerana tindakan itu,” katanya.

Tambahnya, beliau juga tidak menyangka pengkhianatan akan dilakukan oleh parti yang diasasnya sendiri.

“Tindakan itu satu pengkhianatan pada janji kita, kita dipilih rakyat. Rakyat percaya perjuangan kita adalah lawan kleptokrasi tapi bila kita dalam kerajaan kita sabotaj kerajaan sendiri kerana nak jadi perdana menteri,” katanya.

Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari PH pada hujung Februari lalu, pada hari sama Dr Mahathir letak jawatan perdana menteri yang menyebabkan kabinetnya terbubar serta merta.

PH seterusnya hilang majoriti di Dewan Rakyat pada hari yang sama selepas bekas timbalan presiden PKR yang dipecat Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen yang bersamanya juga menarik sokongan mereka.

Bersatu dan kelompok Azmin kemudian membentuk kerajaan gabungan baharu bersama Umno dan PAS, dan mendapat sokongan komponen BN serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac, namun tidak mendapat sokongan daripada Dr Mahathir dan penyokongnya dalam Bersatu.

Dr Mahathir dan lima lagi ahli Parlimen yang setia kepadanya kini bersama Parti Pejuang Rakyat yang baru diasaskannya minggu lalu.

Menurutnya parti itu akan mendukung asas perjuangan asal Bersatu iaitu untuk melawan kerajaan kleptokrat. – 13 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen