WALAUPUN berterima kasih ketua polis negara bersetuju untuk berjumpa, M Indira Gandhi, bagaimanapun meluahkan rasa tidak selesa berjumpa pegawai tertinggi polis itu seorang diri tanpa kehadiran peguam.
Bekas guru tadika itu memberitahu The Malaysian Insight yang beliau terkejut dengan syarat dikenakan KPN Abdul Hamid Bador kerana beliau memerlukan peguamnya daripada Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) untuk turut serta bagi menjelaskan sebarang aspek perundangan yang dibangkitkan ketika pertemuan itu.
“Saya perlukan seseorang untuk nasihatkan saya. Mereka (peguam) lebih tahu apa yang berlaku,” katanya.
Indira sudah bertahun berjuang untuk disatukan kembali dengan anak bongsunya, Prasana Diksa yang dilarikan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah pada 2009.
Awal hari ini, Hamid dilaporkan berkata yang beliau sedia berjumpa Indira tetapi ia perlu dilakukan tanpa kehadiran pihak ketiga.
“Pintu saya sentiasa terbuka untuk dia (Indira) tetapi saya tak mahu mana-mana pihak ketiga terlibat dalam sebarang pertemuan,” katanya.
Hamid sebelum ini menjanjikan “penamat gembira” untuk Indira dalam perjuangannya yang kini sudah mencecah 12 tahun.
“Kami harap KPN akan benarkan peguam (sertai pertemuan). Ini adalah kes berprofil tinggi dan rakyat awam juga perlu tahu perkembangan terkini siasatan.”
Berkaitan dengan mogok lapar di Bukit Aman bermula 11 September, Indira berkata beliau akan menunggu surat rasmi pertemuan daripada polis.
“Biar PKN jumpa saya dahulu sebelum 31 Ogos, kemudian kita akan tengok (apa yang berlaku).
“Beliau tak beri tarikh, jadi mungkin akhir tahun, saya tak tahu. Kita tunggu dulu maklum balas rasmi sebelum batalkan mogok lapar,” katanya.
Minggu lepas, Ingat menghantar surat kepada Hamid memintanya berjumpa Indira, dan jika beliau gagal berbuat demikian, mereka akan menganjurkan mogok lapar di depan Bukit Aman.
Sementara itu, Pengerusi Ingat Arun Dorasamy berkata pasukannya dibentuk untuk mewakili Indira dalam semua urusan termasuklah hal perundangan.
“Kami dalam surat sudah meminta kepada KPN untuk memberikan maklumat terkini siasatan. Itu isu utamanya.
“Tiada keperluan untuk berjumpa Indira seorang diri. Beliau layak diwakili oleh Ingat dan peguamnya.”
Katanya, kehadiran peguam sangat penting kerana mereka perlu memastikan arahan mahkamah tinggi dapat dijelaskan sepenuhnya.
Pada 2014, Riduan diarahkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memulangkan Prasana, tetapi gagal berbuat demikian, menyebabkan mahkamah mengeluarkan arahan supaya polis menangkapnya.
Indira juga menyaman Hamid sebanyak RM100 juta kerana gagal mengesan anak perempuannya itu.
Riduan melarikan Prasana selepas menukar agama tiga anaknya kepada Islam tanpa kebenaran Indira. Beliau kini sedang melanggar arahan mahkamah yang mengarahkan pemulangan Prasana kepada ibunya.
Mahkamah memberikan hak jagaan tiga anak mereka kepada Indira selepas mendapati penukaran agama itu tidak sah dan melanggar undang-undang. – 13 Ogos, 2020.
Komen