FOKUS Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada masa ini ialah mengukuhkan parti menerusi kerja keras, namun tidak akan menghalang sekiranya ada ahli yang mahu keluar parti, kata Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin.
“If they want to stay, Alhamdulillah. If they want to leave, I can’t do much (Jika mereka mahu kekal (bersama parti) Alhamdulillah. Jika mereka mahu keluar, tidak ada apa yang boleh saya lakukan),” itu jawapan beliau kepada wakil media apabila ditanya mengenai laporan ahli Bersatu keluar parti sejak akhir-akhir ini.
Pada masa sama, beliau memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar perlembagaan parti.
Hamzah yang juga menteri dalam negeri ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen di Putrajaya hari ini.
Ditanya sama ada penubuhan parti politik baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu ‘Pejuang’ akan menjejaskan Bersatu, Hamzah berkata: “Saya nak maklumkan hari yang mereka kata nak tubuh parti itu, hari itu sahaja saya terima lebih 20,000 borang baharu untuk menyertai Bersatu. Keluar enam orang, masuk 20,000. Kami terima faedah berganda.”
Mengenai urusan pendaftaran Pejuang, beliau berkata persoalan mengenai perkara itu perlu diajukan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Saya menteri yang mengawal selia RoS tetapi saya tak pergi tunggu siapa nak daftar,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Hamzah berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan parti-parti terlibat.
“Berikan saya masa untuk berunding dengan kawan-kawan kita,” katanya, menambah beliau telah bertemu dengan beberapa tokoh daripada Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), PAS berkaitan PRN Sabah itu.
Pada 30 Julai lepas, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa serta-merta yang memberi laluan kepada PRN.
Bagaimanapun bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan 32 ahli DUN lain memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan itu dan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan pembubaran DUN tersebut boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah. – Bernama, 13 Ogos, 2020.
Komen