PUTRAJAYA tidak lagi akan mengambil mudah dengan sesiapa yang tidak mematuhi perintah kuarantin Covid-19, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata demikian selepas pemilik kedai nasi kandar di Utara yang dipenjara dan didenda kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.
Menteri Kanan itu berkata kerajaan menganggapnya sebagai satu kesalahan serius dan tidak akan membiarkan mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.
“Sesiapa yang memakai gelang kuarantin dan jika berada di luar rumah, maka tindakan tegas akan diambil.
“Mereka tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan dibawa ke mahkamah. Sekiranya dibawa ke mahkamah, maka hukuman dijatuhkan di mahkamah. Pesalah boleh dikenakan hukuman penjara atau denda,” katanya dalam sidang media taklimat Covid-19 di Parlimen hari ini.
Tindakan dibuat selepas seorang pemilik kedai makan nasi kandar dikaitkan dengan kluster Sivagangga dipenjara lima bulan dan didenda RM12,000.
Kluster Sivagangga yang pertama kali dilaporkan pada 28 Julai berasal dari Napoh, Kubang Pasu selepas seorang warganegara India dengan status penduduk tetap di Malaysia tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah setelah kembali dari India.
Sehingga semalam seramai 45 orang disahkan dijangkiti virus berkenaan selepas mempunyai kontak dengan pesakit indeks.
Dia merupakan pesakit koronavirus pertama yang didakwa kerana melanggar perintah kuarantin. – 13 Ogos, 2020.
MENYUSUL
Komen