SERAMAI 78 ahli Parlimen dari parti kerajaan dan pembangkang menuntut Putrajaya untuk mengurangkan denda RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.
Mereka menggesa denda itu dikurangkan kepada RM250 bagi kesalahan kali pertama, menurut salah seorang ahli Parlimen terbabit Kelvin Yii.
“(Denda RM1,000) ini sangat membebankan terutama bagi golongan B40, pelajar, orang kurang upaya dan mereka yang kehilangan kerja kerana Covid-19,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita, hukuman yang dikenakan haruslah adil dan lebih kepada mendidik.
“Di Australia kesalahan sama didenda sebanyak AU$200 tapi jumlah itu cuma 6.7% gaji minima negara itu.
“Tapi RM1,000 bersamaan 83% gaji minimum malaysia ini jelas kelihatan tidak begitu saksama dengan hasrat mendidik dan bukan menghukum,” katanya.
Kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan umum dan dalam pengangkutan awam bermuka 1 Ogos bagi membendung wabak Covid- 19.
Peraturan terbaru itu memperuntukkan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada individu yang gagal mematuhinya. – 13 Ogos, 2020.
Komen