AKTA Hasutan 1948 perlu bagi menjamin perpaduan kaum di Malaysia, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan kerana itu ia tidak perlu dimansuhkan.
Beliau mengakui akta itu menimbulkan kontroversi kerana banyak disalahguna, namun itu bukan alasan untuk mewajarkannya dimansuhkan.
“Pepatah melayu kata, marah pada nyamuk jangan kita bakar kelambu.
“Kalau yang pertikaikan salah guna… bukan salah guna akta, akta itu mesti diguna dengan betul.
“Kalau masalahnya punca yang membolehkan seseorang pemimpin salah guna akta itu untuk kepentingan diri, orang yang patut kita bakar adalah pemimpin itu… bukan akta itu,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat.
Nazri juga berkata, jika isunya ialah akta itu undang-undang yang “kuno”, maka lebih wajar untuk ia dipinda.
“Ada yang kata akta itu ‘ancient’. Iyalah… kerana dia wujud 1948. Kalau dah maju ke hadapan 2020, maka buatlah pindaan kepada akta itu… mensesuaikannya dengan keadaan sekarang,” katanya.
Dalam pada itu, Nazri bersetuju dengan pandangan Hassan Karim (Pasir Gudang-PH) bahawa akta itu perlu dipinda untuk memasukkan peruntukan “dengan niat” sebagai elemen jenayah.
“Apa YB cakap betul, mesti ada elemen niat untuk hasut bagi lakukan pergaduhan. Saya setuju dan boleh bincang dengan pihak jabatan berkaitan untuk masukan elemen itu,” katanya.
Beliau juga setuju urusan pindaan akta itu dikemukakan untuk pertimbangan sebuah kaukus Parlimen.
Pelaksanaan Akta Hasutan mencetuskan banyak kontroversi kerana dianggap digunakan untuk tahanan politik.
Dalam kempen Pilihan raya Umum ke-14, Pakatan Harapan berjanji mahu menghapuskan akta tersebut dan menggantikan dengan akta baharu. Setelah jadi kerajaan sehingga Februari lalu, perkara itu belum sempat ia laksanakan.
Menteri Dalam Negeri ketika itu Muhyiddin Yassin, yang sekarang perdana menteri kerajaan Perikatan, beberapa kali berkata usaha itu sedang dalam proses semakan.
Nazri dalam perbahasannya sebelum itu membangkitkan soal kepentingan perpaduan kaum di Malaysia.
Beliau memuji kerajaan di bawah Perikatan Nasional kerana menekankan isu perpaduan dengan menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara. – 13 Ogos, 2020.
Komen