Harga siling pelitup muka 3 lapis RM1 bermula 15 Ogos


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Kerajaan turunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 berkuatkuasa 15 Ogos daripada kadar RM1.50 pada masa ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2020.

KERAJAAN akan menurunkan harga siling pelitup muka tiga lapis kepada RM1 berkuatkuasa 15 Ogos daripada kadar RM1.50 pada masa ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata keputusan dibuat selepas perbincangan dengan pengusaha dan dan tinjauan mendapati bekalannya dalam negara mencukupi.

“Berdasarkan perbincangan dengan pengilang pemborong peruncit walaupun  jual RM1.50 tapi sekarang ada juga jual RM1.20 maka benarlah mencukupi (pasaran).

“Jadi kementerian semak semula dan ambil keputusan Kabinet dan maklum bahawa kita turun harga siling topeng muka RM1 seunit.

“Ia bermula 15 Ogos ini jadi saya berharap dengan harga siling baru ini dapat membantu kurangkan beban B40,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Alexander minggu lalu memberitahu Dewan Rakyat, harga siling pelitup muka itu akan diturunkan namun tarikhnya belum ditetapkan waktu itu.

Pemakaian pelitup muka tiga lapis kini diwajibkan ketika berada di tempat awam yang sesak untuk mengelak jangkitan Covid-19, termasuk di restoran dan ketika menaiki pengangkutan awam.

Harga pelitup muka itu naik mendadak di pasaran sejak Mac apabila Covid-19 menjadi pandemik global.

Pada masa sama Alexander tidak menolak kemungkinan harga pelitup muka akan dapat diturunkan lagi sehingga RM 0.80 sen sekeping pada masa depan.

“Kalau boleh kita nak turun had sehingga RM 0.80 sen atau kurang kalau boleh sampai 0.70 sen pun boleh.

“Tapi saya tak nak janji dulu sebab ini melibatkan pemain industri juga. Kita kena tengok pada kemampuan pengilang juga,” katanya. – 13 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen