MALAYSIA bakal menyaksikan penguncupan ketara sebanyak dua digit dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat krisis kesihatan yang belum pernah terjadi sebelumnya yang menjejaskan ekonomi global, kata para pakar ekonomi menjelang pengumuman Bank Negara Malaysia.
Bank pusat dijangka mengumumkan data KDNK suku kedua 2020 pada Jumaat.
Pakar ekonomi memberitahu The Malaysian Insight, mereka menjangkakan penguncupan tahun ke tahun antara 10-17% bagi suku kedua tahun ini (2Q20) susulan penutupan aktiviti ekonomi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikenakan bagi mengekang Covid -19.
Penguncupan ketara juga dijangka seiring dengan penurunan indeks pembuatan, perlombongan dan perkhidmatan, kata Prof Ekonomi di Sunway Business School Dr Yeah Kim Leng ketika mengambil data daripada Jabatan Perangkaan.
Beliau berkata sektor pembuatan, perlombongan dan perkhidmatan mencatatkan penurunan sebanyak 8.5%, 10.7% dan 21.5%, sementara nilai kerja pembinaan turun sebanyak 44.9% pada suku kedua.
“Penguncupan KDNK berkemungkinan akan jauh lebih buruk berbanding jangkaan. Berdasarkan indeks sektor utama, penguncupan KDNK bagi suku kedua dianggarkan pada 17%,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Yeah berkata seperti negara lain yang berdepan wabak itu, faktor utama penurunan KDNK adalah penutupan aktiviti sosial dan ekonomi bagi membendung penularan virus. – 13 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini
Komen