HOTEL sanggup terus dijadikan pusat kuarantin Covid-19 kerana ia mendatangkan pendapatan untuk bertahan dalam krisis ekonomi pada masa sekarang, kata Persatuan Hotel Malaysia (MAH).
Ketua Pegawai Eksekutif MAH Yap Lip Seng berkata langkah itu khususnya akan membantu hotel yang kehilangan pelanggan dan menjana pendapatan sangat minimum atau tiada langsung.
“Menggunakan hotel sebagai pusat kuarantin akan membantu usaha kerajaan dalam menghentikan penularan Covid-19.
“Pada masa sama, hotel ini juga dapat dibantu dengan membolehkan mereka mengekalkan pekerja sepanjang pandemik itu di mana tetamu yang datang menginap sangat sedikit,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau menolak kebimbangan bahawa tetamu tidak akan datang ke hotel yang pernah dijadikan pusat kuarantin kerana semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi bagi memastikan keselamatan dan kebersihan.
“Saya tidak rasa ia akan berlaku begitu (kesan terhadap pelancong) kerana hotel mengikut SOP kerajaan.
“Dengan SOP pembersihan dan pembasmian kuan serta polisi dipatuhi, hotel bersedia untuk beroperasi pada bila-bila masa.”
Yap berkata demikian ketika ditanya tentang sama ada hotel risau ia digunakan sebagai pusat kuarantin, susulan kerajaan negeri Melaka menghalang hotel di negeri itu digunakan bagi tujuan itu.
Keputusan kerajaan negeri itu berdasarkan kepada kebimbangan industri pelancongan akan terjejas, apatah lagi sektor itu penyumbang utama ekonomi Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Anti Dadah dan Kesihatan Melaka Rahmad Mariman berkata kerajaan negeri sebaliknya akan membuka semula satu daripada dua pusat kuarantin di situ.
Ia susulan keputusan Putrajaya untuk melaksanakan semula kuarantin wajib di pusat kuarantin dan hotel yang ditetapkan terhadap mereka yang pulang dari luar negara bermula 24 Julai.
Sebelum itu, bermula 10 Jun, mereka yang pulang ke tanah air dibenarkan kuarantin di rumah masing-masing di bawah perintah pemantauan rumah, tetapi pihak berkuasa mendapati ramai yang melanggar perintah kuarantin itu.
Yap berkata industri hotel mengambil langkah proaktif lebih lagi terhadap SOP kerajaan untuk mencetuskan kesedaran dan memberikan lebih keyakinan kepada tetamu.
“MAH memperkenalkan program pensijilan kebersihan dan keselamatan hotel Malaysia. Ia melangkaui keperluan peraturan dan bergabung dengan amalan serta garis panduan antarabangsa.” – 17 Ogos, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen