Itali wajibkan saringan Covid-19 dari 4 negara lagi


Itali mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada pengunjung dari Croatia, Greece, Malta dan Sepanyol, susulan lonjakan kes. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2020

ITALI mewajibkan ujian saringan Covid-19 kepada mereka yang tiba dari empat lagi negara iaitu Croatia, Greece, Malta dan Sepanyol, lapor agensi berita Sputnik, memetik Menteri Kesihatan Roberto Speranza.

Keputusan itu dibuat di tengah-tengah peningkatan jumlah kes baharu.

Sebilangan besar kes baharu dikesan dalam kalangan golongan muda, kebanyakannya baru pulang dari percutian di luar negara atau perwakilan diaspora yang tinggal beramai-ramai. 

Sebanyak 300 kes baharu Covid-19 dilaporkan sepanjang Julai, sama seperti di peringkat awal penularan wabak (akhir Februari - awal Mac).

Namun, baru-baru ini, jumlah yang dijangkiti meningkat. Pada Ogos jumlah kes melebihi 400 dan pernah mencecah sehingga 552 kes pada 7 Ogos. 

Menteri itu berkata Colombia dimasukkan ke dalam negara yang disenarai hitam kerana peningkatan kes yang dicatatkan di negara itu.

Sebelum ini, terdapat 16 negara termasuk Brazil, Armenia, Moldova, Montenegro dan Serbia. Pada akhir Julai, kuarantin wajib dikenakan terhadap mereka yang mengunjungi Bulgaria dan Romania.

Sehingga Rabu, jumlah kes Covid-19 di Itali mencecah 251,000 dengan 35,225 kematian dan lebih  202,000 orang pulih. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia jumlah kematian global sudah menjangkau lebih 737,000 orang, dengan jumlah kes di seluruh dunia melebihi 20.1 juta. – Bernama, 13 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen