Peru laksana perintah berkurung Ahad untuk hentikan lonjakan kes virus


Orang ramai tiba di terminal bas antara wilayah di Lima, Peru. Perjalanan domestik di negara itu mula dibuka semula selepas empat bulan ditutup kerana Covid-19. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2020.

PERU akan melaksanakan semula larangan keluar rumah pada hari minggu dan melarang majlis keluarga dalam usaha mengekang wabah koronavirus yang muncul kembali, kata Presiden Martin Vizcarra pada Rabu.

Sejak kerajaan mula menarik kembali langkah pengekangan pada 1 Julai, jumlah kes baharu setiap hari meningkat dua kali ganda dari 3,300 kepada 7,000 kes.

“Kita perlu mengambil tarik semula langkah yang kita longgarkan,” kata Vizcarra. 

“Mulai Ahad ini, perintah berkurung peringkat negara akan dikenakan semula.”

Presiden meletakkan kesalahan kepada majlis pertemuan sosial keluarga bagi “lonjakan jangkitan” dan berkata ia kini dilarang.

Perintah berkurung pada Ahad pernah dilaksanakan sekejap pada April, beberapa minggu selepas Peru mengisytiharkan darurat kesihatan.

Hanya mereka yang mempunyai pas khas, seperti pekerja hospital, dibenarkan keluar dari rumah.

Enam minggu sudah berlalu sejak Peru mula melonggarkan sekatan dalam usaha mengaktifkan semula ekonominya.

Bagaimanapun, kerajaan kini juga melanjutkan arahan kuarantin wajib yang ditarik kembali di 20 daripada 25 wilayah sejak 1 Julai.

Peru adalah negara ketiga paling teruk terjejas di Amerika Latin - selepas Brazil dan Mexico - oleh wabak koronavirus dengan 490,000 kes dan lebih 21,500 kematian.

Perintah berkurung pada waktu malam sebelum ini dilaksanakan pada 16 Mac ketika sempadan ditutup dan kelas sekolah ditangguhkan sepanjang tahun ini. – AFP, 13 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen