BRITAIN mengurangkan angka kematian akibat wabak koronavirus sebanyak lebih 5,000 kepada 41,329 bagi jumlah keseluruhan kes pada Rabu, susulan semakan semula berhubung cara kematian dicatatkan.
Di England, individu yang meninggal selepas disahkan positif akan termasuk dalam jumlah mangsa, tanpa mengira punca kematiannya.
Tetapi kini, hanya mereka yang meninggal dunia dalam tempoh 28 hari selepas didapati positif akan dimasukkan dalam jumlah tersebut, menjadikan England seiring dengan negara lain di United Kingdom.
Jumlah rasmi kematian akibat virus di Britain menurun dari 46,706 kepada 41,329 di bawah sistem baharu, pengurangan sebanyak 12%.
“Cara kita mengira kematian individu dengan Covid-19 di England pada awalnya dipilih untuk mengelakkan daripada mengambil mudah kematian disebabkan oleh virus pada peringkat awal wabak,” kata John Newton, pengarah peningkatan kesihatan di Public Health England.
Angka baru ini bermaksud Britain kini mempunyai kematian lebih rendah berbanding India, tetapi masih merupakan salah satu negara paling teruk terjejas di dunia, dan terburuk di Eropah. – AFP, 13 Ogos, 2020.
Komen