TURKI akan membuka kembali sesi persekolah pada akhir September, hampir sebulan selepas bermulanya tahun akademik baharu, umum kerajaan pada Rabu, ketika kes koronavirus harian berterusan melebihi 1,000.
Pegawai Turki bimbang dengan jumlah harian meningkat dari sekitar 900 kepada lebih 1,000 kes yang disahkan pada 4 Ogos dan tidak turun di bawah empat angka sejak itu.
Tetapi jumlahnya jauh di bawah jumlah harian tertinggi kira-kira 5,000 kes pada April.
“Sekolah akan dibuka semula dengan pembelajaran jarak jauh pada 31 Ogos,” kata Menteri Pendidikan Ziya Selcuk kepada wartawan di Ankara.
Diharapkan pembukaan sekolah secara beransur-ansur dapat dilakukan mulai 21 September, tambahnya.
Selcuk berkata keputusan itu berdasarkan nasihat daripada jawatankuasa saintifik yang menasihati kerajaan, yang bertemu pada Rabu sebelum pengumuman rasmi menteri.
Sekolah dan universiti ditutup pada Mac bersama kebanyakan ruang awam ketika pihak berkuasa Turki bergegas untuk mencegah wabak virus yang melumpuhkan sistem kesihatan negara itu.
Pegawai kemudian memutuskan untuk menutupnya sepanjang baki tahun akademik.
Setakat ini sejumlah 243,180 orang dijangkiti Covid-19 di Turki, 5,873 daripadanya meninggal dunia, menurut data kerajaan yang diterbitkan pada Selasa.
Beberapa kumpulan doktor, terutama di tenggara negara itu, memberi amaran mengenai keadaan yang semakin buruk selepas kerajaan menamatkan pengurungan hujung minggu pada Jun.
Walaupun pegawai menafikan dakwaan itu, pekerja kesihatan di Ankara berkata kes meningkat dengan cepat, dengan unit rawatan rapi penuh dan hospital terpaksa menolak untuk menerima pesakit.
Menteri Kesihatan Fahrettin Koca memberi amaran pada Rabu yang “langkah tegas yang kita tidak mahu hadapi lagi mungkin kembali jika pertambahan berlanjutan secepat ini”.
Sebelum sekatan ditarik balik pada Mei dan Jun, pihak berkuasa Turki menutup ruang awam seperti kafe, restoran, kedai gunting rambut dan pusat membeli-belah, dan melarang perjalanan antara bandar. – AFP, 13 Ogos, 2020.
Komen