CADANGAN menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak harus dilihat dari kaca mata politik kepartian semata-mata, kata ahli Parlimen pembangkang dan aktivis mahasiswa, selepas Putrajaya mengumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak bercadang memansuhkan.
Pemansuhan akta itu, untuk digantikan dengan sebuah akta baharu, dicadangkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum Mei 2018 dan diusahakan semasa gabungan itu mentadbir sehingga ia jadi kerajaan pada hujung Februari lalu.
Ahli Parlimen Teo Nie Ching (Kulai-DAP) berkata kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad bahawa kerajaan PN tidak akan meneruskan cadangan itu sangat mengecewakan.
“Mengikut garis masa PH akta baru akan akan dibentangkan hujung tahun ini bersama dengan pembentangan Belanjawan (2021).
“Akta baharu ini tidak harus sebagai agenda politik dan saya amat berharap ia dapat disokong PN. Itu adalah tanggungjawab kementerian,” katanya, yang juga bekas timbalan menteri pendidikan, pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) pada 27 Julai lalu, Noraini berkata AUKU masih relevan.
“Oleh yang demikian, kementerian belum bercadang untuk memansuhkannya dalam masa terdekat,” katanya.

Jawapan Noraini itu turut mendapat perhatian 27 badan mahasiswa yang merasakan kerajaan sekarang tidak berminat mahu memberdayakan universiti dan mahasiswa.
Dalam pada itu, Akmal Nasir (Johor Bahru-PKR) berkata kerajaan sepatutnya mengadakan perbincangan dengan pelajar dan pensyarah terlebih dahulu, dan sehingga ini belum berbuat demikian sejak mengambil alih pentadbiran pada Mac lepas.
“Semasa PH, kita cuma ada satu kementerian yang menjaga pelajar di sekolah dan universiti tapi PN telah membahagikan kementerian bermaksud mereka mempunyai peruntukan lebih menerusi Bajet 2020.
“Kerana itu KPT sekurang- kurangnya patut mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia PKPIM Farhan Rosli turut menggesa kerajaan meneruskan usaha memansuhkan akta kontroversi itu.
Isu pemansuhan itu tidak sepatutnya dipolitikkan demi manfaat pelajar dan pihak universiti, katanya.
“Bekas perdana menteri Najib Razak memulakan inisiatif memansuhkan AUKU dan PH meneruskan memandangkan ia inisiatif yang baik.
“Ia harus diteruskan,” katanya.
Semasa memegang jawatan menteri pendidikan dalam pentadbiran PH, Maszlee menggerakkan usaha untuk memansuhkan AUKU, yang mendapat sokongan mahasiswa, badan mahasiswa dan pentadbir universiti.
Ini termasuk menghidupkan semula kesatuan mahasiswa selepas terkubur empat dekad lalu susulan tunjuk perasaan mahasiswa pada dekad 1970-an.
Antara universiti yang menubuhkan semula kesatuan mahasiswa tahun lalu, semasa PH jadi kerajaan, ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, kata mereka. – 12 Ogos, 2020.
Komen