KES Covid-19 hanya akan dilaporkan sebagai kes positif selepas diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
“Laporan dari mana-mana sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM.
“Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham mengulas mesej pesanan ringkas yang tular di media sosial mengenai kes positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar sekolah di Lembah Pantai. Kes itu katanya masih dalam siasatan.
Menurutnya, KKM menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala, membabitkan seorang pelajar Tingkatan 5 yang mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos.
“Pada 10 Ogos 2020 beliau telah dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan dan seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan Covid-19,” kata Dr Noor Hisham.
“Keputusan saringan demam denggi didapati positif namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi.”
Tambah beliau, sebagai langkah berjaga-jaga, seramai 34 pelajar dan lapan guru dikenal pasti sebagai kontak rapat pelajar berkenaan.
Daripada jumlah tersebut 14 orang lagi telah diberi arahan untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk persampelan, katanya.
“Semua individu yang telah disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.” – 12 Ogos, 2020.
Komen