BN calonkan pemangku ketua Umno Tanjung Malim di PRK Slim


Pengumuman pemilihan Mohd Zaidi, 43, dibuat Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad selaku Pengarah PRK DUN Slim di Felda Residence di Slim, petang ini. – Gambar Umno Online, 12 Ogos, 2020.

PEMANGKU Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hujung bulan ini. 

Pengumuman pemilihan Mohd Zaidi, 43, dibuat Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad selaku Pengarah PRK DUN Slim di Felda Residence di Slim, petang ini. 

PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas. 

Menurut Saarani pada awalnya terdapat sembilan nama disenaraikan sebagai calon PRK itu, tetapi hanya seorang yang dipilih berdasarkan penilitian sewajarnya termasuk boleh memenangi pilihan raya itu. 

“Bilangan (senarai untuk) calon awalnya ada sembilan, kemudian kita pendekkan kepada lima, tiga dan akhirnya seorang.

“Kesemua mereka adalah tokoh yang berkelayakan dan berkaliber, namun hanya seorang antara mereka yang dipilih, yang terbaik antara yang terbaik,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya Umno, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan calon parti baharu yang ditubuhkannya dikenali sebagai Pejuang untuk bertanding di PRK DUN Slim atas tiket Bebas pada malam ini, di Tanjung Malim. – Bernama, 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen