SURUHANJAYA Hak Asasi Malaysia (Suhakam) hari ini diberitahu yang dokumen Pastor Joshua dan Ruth Hilmy termasuklah sijil pembaptisan, disimpan oleh teman serumahnya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya ada masalah dengan pihak berkuasa.
Josiahnandan Emmanuel Peter, 25, saksi ketiga pendengaran awam dipanggil sekali lagi hari bagi mengesahkan dokumen yang diberinya kepada peguam keluarga Ruth, Philip Koh, pada Februari tahun ini.
Katanya, beliau dan saudara perempuannya mengambil dokumen itu pada 2017, sebelum dipindahkan dari rumah Joshua di Kampung Tunku, Petaling Jaya.
“Kami ambil dokumen itu kalau-kalau sesuatu berlaku kepadanya (Joshua).
“Di Malaysia, jika orang Melayu jadi seorang Kristian dan jika mereka mula berkongsi tentangnya (kepercayaan mereka) dengan orang Melayu lain, ia boleh mendatangkan risiko kepada mereka,” katanya kepada panel siasatan hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan peguam Badan Peguam Andrew Khoo yang bertanya mengapa beliau mengambil dokumen itu dari rumah Joshua.
Josiahnandan dan adik perempuannya Grace Thangamalar tinggal bersama pasangan itu ketika menuntut di sebuah kolej daripada 2014 sehingga 2017.
Ayah mereka, Peter Pormanan, adalah kawan rapat Joshua, membenarkan anak-anaknya tinggal di rumah Joshua kerana kedudukannya yang berdekatan dengan kolej mereka di Petaling Jaya.
Antara dokumen dihantar kepada panel siasatan adalah sijil pembatisan, dokumen rasmi dan tidak rasmi, e-mail dan kitab Injil.
Khoo kemudian bertanya kepada Josiahnandan mengapa beliau tidak berikan kotak dokumen itu kepada ayahnya.
Josiahnandan berkata ketika itu beliau tidak terfikir mahu memberikan dokumen itu kepada ayahnya.
“Kami (Josiahnandan dan Grace) hampir terlupa tentang kotak itu. Ayah saya juga tidak tahu mengenainya.”
Khoo bertanya sebab mengapa beliau tidak menyerahkan kotak dokumen itu kepada polis.
Balas Josiahnandan, ketika itu beliau tidak pasti mahu memberikannya kepada polis atau siapakah yang sesuai untuk menguruskan dokumen.
“Kami tahu yang mereka (Joshua dan Ruth) terlibat dalam aktiviti keagamaan. Kerana itu saya tidak pasti bagaimana hendak dedahkan maklumat ini.”
Ayah Josiahnandan, Peter, sebelum ini memberitahu Suhakam yang Joshua, bekas penganut agama Islam yang menganut agama Kristian, mungkin diburu kerana agamanya.
Tidak banyak diketahui tentang Joshua dan Ruth, yang disyaki menjadi mangsa kehilangan paksa. Pada 2018, dua tahun selepas kehilangan mereka, adik beradik Ruth membuat laporan kehilangannya.
Keluarga Ruth berasal dari perkampungan nelayan di Nambiki, utara Sumatera, Indonesia.
Undang-undang hak asasi antarabangsa mendefiniskan kehilangan paksa adalah apabila seseorang secara rahsia diculik atau dipenjara oleh negara atau organisasi politik, atau pihak yang diberi kuasa, disokong atau dikaitkan dengan negara atau organisasi politik.
Panel Suhakam dipengerusikan Pesuruhjaya Hishamuddin Yunus, dibantu oleh Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma. – 12 Ogos, 2020.
Komen