11 kes baharu Covid-19, 8 kes pulih


Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga kini 9,114 kes, kata kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2020.

SEBELAS kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, dan tiga daripadanya adalah penularan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia sehingga kini 9,114, tambah beliau.

Dua daripada kes penularan dalam negara membabitkan rakyat tempatan, yang dikesan melalui saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di Kedah.

Dr Noor Hisham berkata kedua-dua pesakit berkenaan di masukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dirawat, dan kedua-dua kes tidak berkait rapat antara satu sama lain.

Manakala satu lagi kes penularan tempatan membabitkan bukan warganegara yang dikesan melalui saringan tahanan baharu di lokap  Balai Polis Tawau, Sabah.

Selain itu, Dr Noor Hisham juga berkata daripada lapan kes import yang dilaporkan, tujuh membabitkan rakyat tempatan.

Juga tiada kes jangkitan baharu dari semua kluster aktif, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu juga, seramai lapan pesakit dibenarkan keluar hospital.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 8,817 kes, tambah Dr Noor Hisham.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula 172 kes. 

Sehingga kini terdapat satu kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan, katanya. – 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen