Brazil siap sedia cuba vaksin Covid-19 keluaran Rusia


Brazil, antara negara paling teruk terjejas kerana Covid-19 bersiap sedia memulakan ujian vaksin Covid-19 keluaran Rusia. – Gambar AFP, 12 Ogos, 2020.

INSTITUT Teknologi Parana (TECPAR) di Brazil akan memohon dokumen teknikal untuk vaksin Covid-19 Rusia pada minggu depan, sebagai persiapan untuk memulakan percubaan terhadap vaksin itu.

“Kami percaya selepas menandatangani perjanjian kerangka kerja pada esok (Rabu), TECPAR pada minggu depan boleh mula mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa Rusia,” kata seorang pegawai di pejabat gabenor negeri selatan, Guto Silva lapor agensi berita Rusia TASS.

Beliau berkata perincian mengenai jangka masa pelaksanaan kerangka perjanjian, masalah pengiriman, akses kepada teknologi Rusia yang berkaitan dan kemungkinan menghasilkan vaksin di Brazil, bakal dibincangkan pada Rabu dalam telesidang antara Gabenor Parana, Ratinho Junior, dan Ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) Kirill Dmitriev.

Menurut Silva, TECPAR mempunyai kemudahan penyelidikan yang cukup untuk menjalankan ujian makmal vaksin Rusia itu, sementara hubungannya dengan Yayasan Oswaldo Cruz (Fiocruz) Kementerian Kesihatan Brazil memberi peluang  percubaan di peringkat persekutuan dapat dilakukan.

“Kami berminat untuk menjadi pusat pembangunan vaksin ini. Yang penting, kerajaan persekutuan mempunyai pendirian yang sama dengan kami,” katanya.

Media Brazil pada Selasa melaporkan kerajaan Parana dan RDIF sedang bersiap sedia untuk memeterai perjanjian menguji dan mengeluarkan vaksin Rusia itu.

Bagaimanapun, badan pengawasan kebersihan Brazil, Anvisa mengatakan pihaknya belum menerima permohonan untuk ujian dan pendaftaran vaksin.

Terdahulu, pada Selasa, Presiden Vladimir Putin mengumumkan Rusia sudah mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia. 

Menurut Menteri Kesihatan Mikhail Murashko, vaksin diberi nama Sputnik V itu dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, ujian klinikalnya yang dijalankan pada Jun-Julai berjaya membuahkan hasil.

Putin juga mendedahkan seorang daripada anak perempuannya menerima suntikan vaksin itu dan dalam keadaan sihat. – Bernama, 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen