BANDAR terbesar di New Zealand, Auckland, mengenakan amaran Tahap Tiga pada Rabu selama tiga hari berikutan empat kes Covid-19 melibatkan penularan komuniti pada Selasa, lapor agensi berita Xinhua.
Perdana Menteri Jacinda Ardern pada sidang media berkata selepas 102 hari tanpa penularan tempatan, New Zealand merekodkan empat kes baharu, jangkitan daripada sumber tidak diketahui.
Ini adalah kes pertama di luar kemudahan pengasingan, selepas negara itu mengumumkan kejayaan awalnya membendung virus berkenaan.
Kes berkenaan membabitkan sekeluarga yang tinggal di Auckland Selatan dan tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa.
Ardern berkata kes-kes itu tidak berkaitan dengan pelancong asing atau orang yang bekerja di sempadan dan menyeru rakyat untuk sentiasa “berjaga-jaga.”
“Tempoh tiga hari itu akan memberi kita masa untuk menilai keadaan, mengumpulkan maklumat, mengesan kontak,” kata Ardern. – Bernama, 12 Ogos, 2020.
Komen