Azhar nafi berat sebelah sebagai Speaker Dewan Rakyat


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Saya hanya menjaga masa persidangan dan tidak bercakap untuk Perikatan Nasional, kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2020.

AZHAR Azizan Harun, yang dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu sebulan yang lalu, menafikan bersikap tidak adil sebagai kerana dilihat menyebelahi Perikatan Nasional.

Azhar berkata beliau hanya menjalankan tugasnya sebagai Speaker Dewan Rakyat apabila dikritik tidak adil oleh ahli Parlimen pembangkang.

“Saya tak bercakap untuk perdana menteri, saya hanya menjaga masa (sidang Parlimen), dan saya tak bercakap untuk menteri kewangan juga.

“Saya tidak mahu memperbesarkan isu itu sehingga menjadi polemik. Saya tidak akan berbuat demikian,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Azhar berkata tidak boleh berbuat apa jika ada kritikan hanya kerana dirinya hanya menjalankan tugasnya sahaja.

“Saya terima saja semua kritikan. Apa yang boleh saya buat… itu kerja saya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakannya yang menjawab bagi pihak Tengku Zafrul Aziz semasa ahli Parlimen pembangkang membangkitkan isu penyelesaian Goldman Sachs di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.

Ia bermula apabila Lim Guan Eng (DAP-Bagan) bertanya jika penyelasaian dengan Goldman Sach sebanyak AS$3.9 bilion dipersetujui oleh kabinet.

Sebelum Zafrul sempat menjawab, Azhar ketika itu memintas dengan berkata ia merupakan keputusan Kementerian Kewangan dan sudah pasti telah dibawa ke kabinet.

Ahli Parlimen pembangkang mengecam pelantikan Azhar pada 13 Julai susulan usul yang dibawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan speaker terdahulu, Mohamad Ariff Md Yusof.

Pelantikan tersebut dicabar oleh Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad yang memfailkan saman pemula pada 23 Julai lepas kerana mendakwa ia tidak sah, tidak menepati dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

Selain, Azhar saman pemula itu turut mencabar pelantikan Azalina Othman Said sebagai timbalan speaker.

Semalam, Azhar memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut, bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon yang dinamakan sebagai defendan ketiga.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 13 Ogos. – 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen