RM1.2 bilion diperlukan jika PRU awal diadakan, kata Takiyuddin


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata PRU lebih awal menelan kos sebanyak RM1.2 bilion. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2020.

KERAJAAN perlu memperuntukkan RM1.2 bilion jika pilihan raya baharu diadakan dan bukannya RM700 juta, sebagaimana dilaporkan sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyiddin Hassan.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini yang kenaikan kos itu mengambil kira pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak RM500 juta dibelanjakan dan sekiranya kerajaan adakan snap election, ia memerlukan sebanyak RM1.2 bilion, bukannya RM700 juta. Itulah anggaran yang diperlukan,” katanya semasa menggulung perbahasan mengenai perbekalan tambahan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkeata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Bung Mokhtar Radin (Kinabantangan-BN) mengenai SOP pilihan raya.

Pada Februari lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan jumlah perbelanjaan antara RM750 juta hingga RM800 juta untuk mengadakan pilihan raya umum, berbanding RM500 juta pada PRU14.

Dalam penggulungan ucapannya, Takiyuddin juga berkata kerajaan berhasrat menggunakan khidmat Jabatan Peguam Negara mewakili SPR dalam kes petisyen pilihan raya.

Jelasnya, ini berikutan SPR membelanjakan RM400,000 untuk membayar khidmat peguam swasta untuk mewakilinya dalam urusan kes berkaitan petisyen pilihan raya.

“Jabatan Penguam Negara dalam pentadbiran kerajaan terdahulu  memutuskan SPR tidak boleh mengunakan perkhidmatan Jabatan Peguam Negara kes petisyen pilihan raya dan perlu lantik peguam swasta.

“Kerajaan sekarang ini pula berpandangan Jabatan Peguam Negara mempunyai kepakaran dalam menguruskan kes petisyen pilihan raya,” katanya. – 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen