Panglima perang moden, warisan naratif politik feudal


Zainal Rashid Ahmad

KONSEP “warlord” atau “panglima perang” masih ketara di negara ini. Pada era politik baharu, warlord tetap berkuasa.

Bukan aneh, pemimpin yang ditolak majoriti rakyat atau ahli parti masih boleh kekal sebagai orang nombor satu.

Semuanya kerana sistem politik parti dan pemerintahan di negara ini memberi ruang yang besar kepada penguasaan warlord untuk menentukan semuanya.

Dalam parti, sama ada parti kecil dengan 300,000 ahli atau parti gergasi dengan 3.5 juta ahli – amalan penguasaan warlord ketara melalui konsep pengundian secara wakil yang terpilih.

Sekalipun parti memiliki 3.5 juta ahli, hanya 150,000 ahli layak mengundi memilih perwakilan dan kepimpinan parti.

Walaupun nampak demokratik, secara amalan, undi perwakilan masih dipengaruhi warlord yang berpengaruh di peringkat negeri dan bahagian.

Pemimpin yang memiliki lebih ramai warlord di peringkat bahagian dan negeri, akan berpeluang besar untuk menang.

Sekali secara naratif, mereka ketara ditolak ahli akar umbi.

Naratif warlord tetap menjadi stail politik Malaysia selepas lebih enam dekad merdeka.

Saya memilih melihat konsep warlord sebagai tafsiran lebih meluas terhadap artikel pembaca The Malaysian Insight, Abdullah Ilham yang disiarkan Isnin lalu.

Abdullah mengulas persekitaran politik feudal melalui sejarah dekad 30-an di beberapa negeri Melayu. Antaranya, seperti Perak dan Pahang.

Analisis yang dipetik Abdullah dengan merujuk pada catatan orientalis Barat yang berpendapat Perak dan Pahang adalah dua negeri yang amat feudal sifatnya.

Lebih malang lagi, pada dekad itu, kedua negeri ini ditadbir dengan teruk dan mengalami kecelaruan politik.

Ketidakstabilan berpunca daripada konflik yang dicetuskan oleh perebutan kuasa di kalangan “the Malay chiefs”.

The Malay Chiefs dalam krisis feudal sembilan dekad lalu ialah krisis warlord di peringkat istana.

Seterusnya membuktikan betapa warlord berakar umbi dalam politik Melayu sejak era feudal.

Malah, 500 tahun lalu – konsep warlord juga menggugah senario politik dalam sejarah kesultanan Melaka.

Abdullah memilih melihat fenomena politik feudal pada dekad yang lebih hampir dengan sejarah moden. Krisis istana Perak dan Pahang pada 1930-an adalah rujukan terdekat.

Krisis politik warlord dekad feudal yang berpanjangan dan berakar umbi terus mekar dalam dunia Melayu. Dari era istana ke era parti politik moden.

Dalam politik moden, peranan warlord bakal menentukan siapa yang akan dipilih sebagai pemimpin nombor satu.

Warlord mengetuai seksyen politik di pelbagai peringkat; tetapi warlord di bahagian dan negeri ternyata paling berpengaruh.

Kecenderungan warlord akan menentukan hala tuju undi perwakilan negeri dan bahagian. Kuasa warlord tidak tertakluk pada sentimen akar umbi.

Dalam analisis Abdullah, disebut juga konflik warlord menjadi punca utama melemahkan kemakmuran ekonomi Melayu. Impaknya berganda apabila rakyat turut sengsara.

Dalam kes politik moden pula, konsep konspirasi warlord dalam menentukan kepemimpinan negara turut memberikan impak kepada negara.

Ada pemimpin yang diangkat melalui undi warlord tetapi pada asasnya ditolak rakyat.

Ini menjadikan sentimen terhadap kedudukan pemimpin kerajaan (Kabinet) dan kepimpinan tertinggi parti dalam kerajaan dipertikaikan.

Ada pemimpin yang dilantik dalam kerajaan secara hakikatnya sangat lemah di mata rakyat.

Manakala, dalam konspirasi politik kenegaraan pula, komplot antara pemimpin parti-parti dan kelompok tertentu mampu bertindak menentukan pelantikan perdana menteri.

Dalam kes politik Malaysia hari ini, berikutan krisis antara warlord dalam Pakatan Harapan (PH) – ia memusnahkah kerajaan yang memenangi PRU14 hanya setelah 22 bulan memerintah.

Warlord di kalangan parti pemerintah PH yang berpecah, akhirnya bekerjasama dengan warlord pembangkang lalu membentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN).

Ini senario ketara betapa politik warlord yang ditulis orientalis Berat mengenai istana Perak dan Pahang pada dekad 30-an, masih wujud hingga hari ini.

Cuma, sekadar beralih arah; dari era feudal ke period demokrasi moden.

Abdullah menulis, konflik ini (krisis istana pada dekad 30-an) telah melemahkan kedudukan istana dan menjejaskan kemakmuran ekonomi rakyat.

Kesannya ia membuka jalan pada campur tangan British yang dianggap mampu menstabilkan keadaan politik tempatan.

Campur tangan British, menurut orientalis, menjadi penyelesaian kepada krisis istana Melayu dan membentuk acuan pentadbiran moden ala naratif Barat.

Apa itu warlord Melayu di mata orientalis?

Abdullah menulis, kuasa pemerintahan Melayu amatlah fragmented ataupun berasing-asing. Akibatnya, Sultan di negeri tidak berkuasa mutlak. Seperti di Pahang, contohnya.

Suatu ketika dahulu, wujud 96 Malay chiefs di negeri itu. Mereka berkuasa seakan Sultan, dengan dukungan ramai pengikut.

Golongan bawahan Melayu pada dekad itu, lebih setia pada pemimpin kelompok melebihi kesetiaan pada sultan dan negeri sendiri.

Merujuk pada tulisan Abdullah, saya meminjam sudut pandang ini dalam menilai peranan warlord di peringkat akar umbi dalam politik moden di negara ini.

Peranan mereka sebagai “kakasan” pemimpin yang mahukan kuasa di peringkat pusat sangat penting.

Justeru, imbalan kepada warlord juga besar apabila pemimpin yang disokong mereka mendapat kedudukan dan kuasa.

Konsep “sokong demi imbalan” telah membentuk dunia politik warlord di negara ini. Terutama melalui organisasi partisan.

Justeru, membaca tulisan Abdullah yang memetik naratif orientalis Barat berhubung krisis istana Perak dan Pahang pada 90 tahun lalu, terasa relevannya hingga ke hari ini.

Sekali pun beralih daripada sistem feudal ke demokrasi berpelembagaan – warlord tetap menjadi penentu: siapa yang bakal berkuasa! – 12 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen