PELUANG penangguhan pinjaman secara bersasar akan membantu mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang tidak dapat membayar hutang, kata Timbalan Menteri Kewangan 1 Abdul Rahim Bakri kepada Dewan Rakyat hari ini.
“Proses yang sedang kita lakukan sekarang adalah untuk melaksanakan moratorium bersasar. Ramai yang akan menerima faedah ini dan prosiding undang-undang terhadap peminjam ini akan dapat dielakkan,” katanya.
Abdul Rahim berkata bank-bank di Malaysia mampu melaksanakan langkah lanjutan moratorium bermula Oktober hingga Disember 2020 kerana mempunyai penampan yang mencukupi.
Moratorium tersebut sudah menelan perbelanjaan bank sekitar RM66,66 bilion pada 31 Julai.
“Keputusan untuk melanjutkan moratorium sudah diteliti oleh Bank Negara Malaysia dan Persatuan Bank Malaysia,” katanya.
Abdul Rahim yang juga ahli Parlimen Kudat berkata individu yang berdepan masalah untuk membayar hutang boleh ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sementara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh merujuk kepada Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) untuk mendapatkan nasihat.
Dia menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen lain berkaitan moratorium.
Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang-Pakatan Harapan) bertanya adakah tindakan undang-undang dapat diambil dalam kes-kes kebangkrapan yang dilaporkan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula sehingga Akta Kebangkrapan dipinda dan diwartakan.
Mohd Salim Sharif (Jempol-Barisan Nasional) turut mengajukan soalan tambahan mengenai keupayaan bank-bank terbabit untuk menanggung tempoh lanjutan moratorium.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pada 29 Julai bahawa kerajaan memutuskan untuk melanjutkan moratorium pinjaman kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Peluang moratorium dan bantuan bersasar dijangka memberi manfaat kepada lebih tiga juta individu dan PKS.
Peminjam boleh membuat permohonan mulai 7 Ogos dan seterusnya. – 12 Ogos, 2020.
Komen