Kes kesihatan mental meningkat semasa PKP, kata kumpulan pakar


Aminah Farid

Masalah hilang punca pendapatan dan potensi hilang pekerjaan antara yang dihadapi rakyat Malaysia sepanjang tempoh PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2020.

TERDAPAT peningkatan yang signifikan dalam jumlah orang yang mencari sokongan kesihatan mental sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan, kata Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).

MMHA merekodkan sebanyak 165 panggilan diterima daripada mereka yang meminta sokongan kesihatan mental dari April hingga Jun, peningkatan 20% dari tempoh pra-PKP yang merekodkan 137 panggilan antara Januari dan Mac.

Presiden MMHA Dr Andrew Mohanraj memberitahu The Malaysian Insight, statistik keseluruhan dari sektor dan perkhidmatan awam menunjukkan sebilangan besar orang ramai memerlukan sokongan kesihatan mental semasa PKP.

Andrew berkata mereka menyaksikan banyak tekanan, kegelisahan dan kemurungan yang berkaitan dengan hilang punca pendapatan, potensi hilang pekerjaan dan pengasingan.

“MMHA merekodkan peningkatan yang signifikan dalam jumlah pesakit yang meminta sokongan melalui panggilan telefon meliputi sokongan psikologi dan kaunseling serta nasihat psikitari.

“Secara peribadi saya menerima banyak panggilan telefon daripada pelanggan tetapi perkhidmatan subsidi MMHA juga menerima jumlah peningkatan pelanggan yang tinggi,” katanya.

Andrew berkata tekanan kerana hilang sumber pendapatan, potensi hilang pekerjaan dan hilang peluang pendidikan serta ketidakpastian perkembangan penyakit antara beberapa masalah yang biasa dilaporkan oleh pelanggan.

Pada April sebuah kajian oleh kumpulan pemikir Malaysia The Centre mendapati bahawa separuh daripada 1,084 responden melaporkan masalah kesihatan mental mereka.

 

Kajian itu melaporkan bahawa 22% responden berdepan kegelisahan teruk atau sangat teruk dengan wanita dan orang di bawah usia 35 tahun berkata mereka mengalami tahap emosi negative yang tinggi dalam tempoh PKP.

PKP yang dilaksanakan dari 18 Mac hingga 9 Jun menyebabkan pergerakan keluar masuk negara terhad dan perniagaan tidak dapat beroperasi kecuali sektor penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Befrienders Kuala Lumpur, sebuah perkhidmatan kesihatan mental bukan berdasarkan keuntungan juga melaporkan peningkatan jumlah panggilan semasa fasa pertama PKP pada Mac.

Pengarah eksekutifnya Kenny Lim berkata penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP dari 18 Mac meninggalkan banyak kesan kepada ramai orang dengan cara berbeza, salah satunya adalah kesihatan mental.

Organisasi bukan kerajaan (NGO) itu berkata dalam tujuh hari pertama PKP terdapat peningkatan sebanyak 13% dalam jumlah panggilan yang diterima di mana sembilan peratus panggilan tersebut disebabkan oleh masalah yag berkaitan dengan Covid-19 atau PKP.

Negara ini juga menyaksikan beberapa percubaan bunuh diri dalam beberapa bulan terakhir yang berkaitan dengan isu-isu Covid-19.  

Pada April seorang lelaki yang menginap di sebuah hotel di Sibu, Sarawak terjun dari tingkap tingkat satu selepas kehabisan duit dan tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Kapit.

Kejadian terbaru melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang melompat dari tingkat 12 sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Serdang pada 3 Ogos selepas berdepan tekanan hilang pekerjaan sebagai juruterbang.

Rakan terdekat mangsa memberitahu polis bahawa dia mengalami kemurungan selepas diberhentikan kerja sebagai juruterbang dengan sebuah syarikat penerbangan tempatan. – 15 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen