Mexico tandatangan perjanjian jalani ujian vaksin koronavirus


Ramai penduduk Mexico City enggan memakai pelitup muka walaupu kematian akibat Covid-19 di negara itu sudah melepasi angka 50,000 orang. – Gambar EPA, 12 Ogos, 2020.

MEXICO pada Selasa berkata ia menandatangani perjanjian dengan tiga syarikat farmaseutikal dari Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menjalankan ujian klinikal vaksin koronavirus.

Negara Amerika Latin itu, yang mempunyai jumlah kematian Covid-19 ketiga tertinggi di dunia, berkata Janssen Pharmaceuticals, sebahagian daripada Johnson & Johnson, CanSino Biologics dan Walvax Biotechnology, akan memulakan percubaan Fasa 3 mulai September.

Mereka akan bergabung dengan syarikat Perancis, Sanofi, yang turut melakukan ujian tahap akhir vaksin koronavirus di negara yang mempunyai lebih 128 juta penduduk itu.

Selepas kadar jangkitan turun di Eropah susulan langkah pencegahan, syarikat ubat beralih kepada negara yang teruk terjejas termasuk Mexico, Brazil dan Afrika Selatan untuk melakukan ujian vaksin berskala besar terhadap sukarelawan.

Kerajaan ingin memastikan “Mexico mempunyai akses tepat pada masanya” terhadap vaksin koronavirus apabila ia siap, kata Menteri Luar Negeri Marcelo Ebrard pada sidang akhbar.

Beliau berkata Mexico mempunyai hubungan langsung dengan 15 makmal paling maju dalam lapangan.

Negara ini melaporkan 53,000 kematian akibat virus - selepas AS dan Brazil - walaupun kerajaan menegaskan jika ia dibandingkan dengan jumlah penduduk, ia tidak begitu terjejas teruk. – AFP, 12 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen