PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sebarang cap kelulusan organisasi itu pada calon vaksin Covid-19 akan memerlukan kajian data keselamatan yang ketat, selepas Rusia mengumumkan pada Selasa yang ia sudah meluluskan vaksin.
Presiden Vladimir Putin berkata Rusia menjadi negara pertama meluluskan vaksin yang menawarkan “kekebalan mampan” terhadap koronavirus baru.
“Kami berhubung rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan sedang berlangsung berhubung kemungkinan pra-kelayakan vaksin WHO,” kata jurucakap agensi kesihatan PBB Tarik Jasarevic.
“Pra-kelayakan bagi apa juga vaksin merangkumi semakan dan penilaian yang ketat terhadap semua data keselamatan dan keberkesanan diperlukan,” katanya kepada wartawan di Geneva pada taklimat media dalam talian.
Vaksin Sputnik V dibangunkan oleh institut penyelidikan Gamaleya dengan kerjasama kementerian pertahanan negara itu.
Sebanyak 168 vaksin sedang diusahakan di seluruh dunia, menurut laporan WHO yang diterbitkan Selasa.
Daripada jumlah tersebut, 28 sudah berada pada tahap ujian pada manusia, dengan enam di antaranya sudah sampai pada Fasa 3 ujian klinikal.
Gamaleya, yang merupakan antara 28 dalam penilaian klinikal, disenaraikan hanya pada Fasa 1.
Kirill Dmitriev, ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia yang membiayai projek vaksin itu, berkata ujian Fasa 3 akan bermula pada Rabu, pengeluaran perindustrian dijangka mulai September dan 20 negara sudah menempah lebih 1 bilion dos.
“Setiap negara mempunyai badan pengawas yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan dalam wilayahnya,” jelas Jasarevic.
“WHO melakukan proses pra-kelayakan untuk vaksin dan juga untuk ubat-ubatan. Pengilang meminta pra-kelayakan WHO kerana ia seperti cap kualiti.
“Untuk mendapatkannya, ada semakan dan penilaian daripada semua data keselamatan serta keberkesanan diperlukan yang dikumpulkan melalui ujian klinikal. WHO akan melakukan ini terhadap setiap calon vaksin.”
Pandemik menyaksikan penggemblengan dana dan penyelidikan yang belum pernah terjadi sebelum ini untuk mendapatkan vaksin yang mampu melindungi berbilion manusia di seluruh dunia.
“Kami didorong oleh kepantasan beberapa calon vaksin calon yang dibangunkan dan seperti yang selalu kami katakan, kami berharap beberapa vaksin akan terbukti selamat dan berkesan,” kata Jasarevic.
“Mempercepatkan kemajuannya tidak bermakna berkompromi terhadap aspek keselamatan,” katanya. – AFP, 12 Ogos, 2020.
Komen