SEMUA orang tahu yang Umno sebenarnya sudah menginstitusikan tradisi tiada pemilihan jawatan tertinggi parti bagi mengelakkan pertempuran yang boleh memecah belahkan parti itu seperti mana pernah berlaku pada 1987 yang menyebabkan pendaftarannya dibatalkan dan melahirkan Umno Baru.
Perlu juga disebut yang Presiden Umno Najib Razak tidak pernah dicabar sesiapa dalam perjalanannya mendaki kuasa sejak memegang jawatan ketua Pemuda Umno kemudiannya menjadi salah seorang daripada tiga naib presiden, seterusnya dilantik sebagai timbalan presiden dan kemudiannya memegang jawatan presidennya sekarang.
Dan seperti sejarah tok guru yang kini jadi musuh ketatnya, Najib kini bersama-sama timbalan yang baru, Ahmad Zahid Hamidi selepas memecat timbalan lamanya, Muhyiddin Yassin dua tahun lepas.
Perhimpunan Agung Umno tahun ini meneruskan tradisinya apabila meluluskan usul supaya dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun depan- seterusnya memastikan Najib kekal sebagai presiden dan Zahid diangkat menjadi timbalannya.
Usul itu mewujudkan dua kelompok, yang menang dan yang kalah.
YANG MENANG
Umno- parti dengan jumlah ahli 3.6 juta orang kini boleh menarik nafas lega kerana dua jawatan tertinggi parti tidak akan dipertandingkan sekaligus melenyapkan kemungkinan wujudnya perang permusuhan dan perpecahan berlaku ketika pemilihan parti.
Parti itu kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pilihan raya umum, tidak lagi risau sama ada pemimpin pilihan mereka akan berjaya mengekalkan jawatan tertinggi parti. Ia juga bermakna Najib terus mengukuhkan kuasanya dan mengawal sepenuhnya parti kerana beliau adalah presiden yang tak pernah dicabar sejak pemilihan parti 2009.
Jika beliau bijak menjaga langkahnya, Najib, yang berkobar-kobar melaungkan Umno boleh memerintah Malaysia seribu tahun lagi boleh menjadi presiden untuk jangka masa yang lama.
Hishamuddin Hussein- sepupu presiden yang berjaya mengharungi pemilihan parti lepas walaupun berdepan cabaran ahli politik berpengaruh dalam Umno, Ismail Sabri dan Mahdzir Khalid.
Walaupun beliau masih tidak disahkan sebagai naib presiden paling kanan oleh perwakilan, kedudukannya kini sudah cukup selamat untuk terus menjamin kedudukannya sebagai salah seorang daripada tiga naib presiden parti.
Seterusnya menghalangnya daripada dimalukan seperti mana pernah berlaku pada pemilihan parti lepas apabila Najib terpaksa menyelamatkannya daripada tewas kepada Mukhriz Mahathir untuk kerusi terakhir jawatan naib presiden.
Zahid- kedudukannya selaku orang nombor dua terus kekal kukuh sekukuh persahabatan Najib dengan Jho Low.
Peluang untuk Hishamuddin menumpaskannya untuk jawatan kedua tertinggi parti mungkin masih tidak wujud.
Zahid mungkin tidak berapa fasih berbahasa Inggeris dan sehingga kini dilihat tidak mempunyai banyak kelebihan tetapi pengaruhnya di akar umbi adalah aset paling bernilai untuk Najib.
Ini juga memberikan dorongan kepadanya untuk memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) mencapai prestasi cemerlang pada PRU14 kerana jawatan timbalan presiden parti itu akan meletakkannya dalam landasan menjadi perdana menteri seterusnya.
YANG KALAH
Ismail Sabri, Mahdzir Khalid, Abdul Rahman Dahlan, Khairy Jamaludin dan beberapa lagi nama besar sedang mengintai jawatan naib presiden.
Kini hanya ada dua tempat untuk diisi, sekiranya Khairy dan Rahman memutuskan untuk bertanding, mereka bukanlah calon pilihan.
Sukar untuk membayangkan yang Ismail atau Mahdzir selaku orang lama, yang mempunyai latar belakang menteri bertahun lamanya ditewaskan dalam pertandingan merebut dua kerusi naib presiden parti.
Ini juga bermakna tidak akan ada menteri besar Umno yang berpeluang untuk menjawat jawatan kanan parti dan mempengaruhi dasar dalaman parti seperti mana pernah berlaku dalam pemerintahan Dr Mahathir.
Ahli Umno- mereka tidak boleh memilih kepimpinan tertinggi mereka, mereka juga tidak dapat menyaksikan bakat kepimpinan terbaik dalam parti bertempur merebut jawatan tertinggi yang boleh memimpin mereka mengatasi prestasi buruk dua pilihan raya lepas.
Persaingan idea segar dan dasar politik baru mampu menjadikan parti itu lebih baik berbanding kaedah persetujuan ramai memilih pemimpin tanpa pertandingan.
Malaysia- Umno, parti dominan dalam kerajaan pemerintah BN, terus dipimpin sekumpulan orang yang memilih ketua sesama mereka tanpa membenarkan pemimpin terbaik naik ke atas dan menerajui parti jika mereka berkuasa sekali lagi.
Di akhirnya, sangat jelas yang Umno memahami wujud perang dalam parti dan sedang berusaha keras memastikan perang itu tidak memecah belahkan parti apatah lagi kesan luka perang sebelum ini masih lagi dirasai.
Satu-satunya cara adalah terus mengelak daripada mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti.
Kesejahteraan dan kesatuan dalam parti- kalaupun ada- lebih mustahak berbanding pemilihan sebenar, itulah yang dipercayai parti orang Melayu dan ahli-ahli mereka itu. – 8 Disember, 2017.
Komen