JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan saringan wajib di pintu masuk utama Sarawak bagi kemasukan semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.
Pengerusinya Douglas Uggah Embas berkata permohonan pengecualian kuarantin boleh dibuat bagi mereka yang terlibat dalam perjalanan rasmi untuk perkhidmatan penting dengan mengisi maklumat secara dalam talian di pautan enterSarawak, https://sarawakdisastermc.com/.
“(Pengecualian kuarantin akan diberi) sekiranya perjalanan mereka dianggap sebagai perkhidmatan penting dan urusan rasmi atau membawa surat kebenaran daripada ketua jabatan dan majikan masing-masing,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kuching hari ini.
Timbalan ketua menteri Sarawak itu berkata keputusan pengurangan jumlah penerbangan ke Sarawak yang diumumkan pada 1 Ogos lepas turut dikekalkan sehingga 31 Ogos.
Uggah berkata bagi warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah serta Labuan yang masuk ke Sarawak dan destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman serta jauh dari Klinik Kesihatan yang menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel Covid-19, tempoh kuarantin di hotel dilanjutkan sehingga 31 Ogos.
“Mereka akan dibenarkan balik ke rumah sekiranya keputusan ujian negatif. Semua penumpang yang balik dari kawasan Zon Merah akan dikuarantinkan di hotel terlebih dahulu sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya.
Uggah juga mengumumkan pembukaan semula sekolah rendah dan menengah di daerah Kuching, Kota Samarahan dan Padawan pada 17 Ogos ini.
Hari ini daerah Samarahan dan Lundu bertukar status daripada kuning kepada hijau setelah kedua-dua daerah berkenaan tidak melaporkan kes Covid-19 jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.
Beliau berkata daerah Kuching dan Serian kekal berstatus kuning dengan jumlah kes tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas masing-masing hanya satu kes. – Bernama, 11 Ogos, 2020.
Komen