Rakyat Sarawak diminta bersedia hadapi kemungkinan jerebu


Desmond Davidson

KETUA Menteri Sarawak Douglas Uggah meminta rakyat di negeri itu bersedia untuk menghadapi jerebu.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata, jerebu yang berlaku setiap tahun di negeri itu mungkin akan kembali dalam beberapa hari ini yang mana kawasan pertama yang akan dilanda jerebu adalah Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong.

Uggah berkata imej satelit cuaca dari Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang dirakam Sabtu lalu menunjukkan jumlah titik panas di bahagian selatan dan barat wilayah Indonesia semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan berapa bilangannya pada sidang media Covid-19 hari ini.

Bagaimanapun katanya, satelit ASMC Sabtu lalu turut mengesan 37 titik panas di Sarawak.

Jumlah titik panas itu bagaimanapun berkurangan ketika imej dirakam pada Ahad dan semalam.

Uggah berkata dengan perubahan arah angin monsun di negeri itu ke arah barat daya, prospek jerebu yang disebabkan pencemaran rentas sempadan adalah tinggi.

“Kualiti udara di kawasan Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong mungkin terjejas dalam beberapa hari lagi.

“Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di negeri itu turut meningkat,” katanya.

Uggah berkata, kualiti udara itu mungkin akan terjejas sekiranya pembakaran terbuka tidak dikawal. – 11 Ogos, 2020.


 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen