Nazri Aziz mahu RUU IPCMC digugurkan


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ia merupakan idea Pakatan Harapan untuk menubuhkan IPCMC yang dibantah oleh BN.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

RANG Undang-Undang (RUU) penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu digugurkan kerana ia bukan agenda kerajaan Perikatan Nasional, kata Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Bekas menteri pelancongan itu berkata ia merupakan idea Pakatan Harapan untuk menubuhkan IPCMC, yang mana dibantah oleh Barisan Nasional kerana ia tidak adil kepada pihak polis.

“Saya minta menteri dalam negeri supaya tarik RUU IPCMC. Ia bukan merupakan agenda kerajaan hari ini.

“Betul ia merupakan agenda PH tapi hari ini kerajaan PN dan dalam PN saya mewakili parti Umno BN kita dari dulu tak setuju RUU IPCMC yang tersenarai sebagai no.7 dalam Aturan Mesyuarat,” katanya semasa perbahasan RUU  Perbekalan Tambahan (2019) 2020 bacaan kali kedua.

Nazri berkata kerajaan perlu menarik balik rang undang-undang itu serta merta.

RUU IPCMC adalah untuk memberi ruang kepada badan bebas memantau integriti pasukan polis dan menyiasat aduan salah laku melibatkan anggota polis.

Nazri berkata, sebagai badan profesional, pasukan polis boleh menjalankan siasatan dalaman terhadap aduan mengenai anggotanya.

“Sama seperti Badan Peguam, mereka turut berurusan dengan orang awam. Sekiranya ada salah laku anggotanya, badan itu sendiri akan mendengar dan menyelesaikannya. Polis boleh buat perkara yang sama,” katanya.

Nazri berkata beliau turut berdepan tekanan untuk menubuhkan IPCMC pada 2004 ketika beliau memenang jawatan menteri undang-undang.

“Saya tidak mahu berlaku tak adil pada polis,” katanya.

Menurutnya, sekiranya badan siasatan bebas diwujudkan untuk pasukan polis, maka ia juga perlu ditubuhkan untuk setiap agensi seperti Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen, yang turut berdepan tuduhan rasuah.

Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) turut mengingatkan Nazi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah bersetuju untuk menubuhkan IPCMC ketika menjadi menteri dalam negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan.

Nazri menjawab, perdana menteri ketika itu adalah Dr Mahathir Mohamad dan bukan Muhyiddin, yang mana sebagai menteri perlu ikut keputusan Kabinet.

Beliau berkata Muhyiddin tidak lagi terikat dengan manifesto PH dan sebaliknya perlu mengikut keputusan PN.

Semalam Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata kerajaan akan memperkenalkan rang undang-undang baharu bagi menggantikan RUU IPCMC.

Hamzah berkata beliau akan membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) pada 26 Ogos bagi menggantikan IPCMC. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

RUU IPCMC dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Julai 2019 dan bacaan kali kedua pada Oktober 2019. Ia bagaimanapun ditangguhkan untuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang bagi perbincangan lebih teliti.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan pasukan polis.

Ia juga bertindak sebagai badan pemantau bebas bagi menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis. – 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen