Masukkan bantuan sewa rumah dalam RUU Covid-19, kata ahli Parlimen


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata ramai yang tidak dapat membayar sewa rumah sepanjang PKP, hinggakan ada terpaksa menjadi gelandangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.

GOLONGAN rakyat yang tidak mampu membayar sewa rumah sepatutnya dipertimbangkan untuk diberi bantuan melalui dana khas yang boleh disalurkan melalui rang undang-undang (RUU) Covid-19 yang sedang dibentangkan di Dewan Rakyat, kata ahli Parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata masalah pembayaran sewa rumah sudah menjadi krisis bagi golongan ini, dan inisiatif kerajaan yang sedia ada tidak mencukupi.

Beliau berkata inisiatif kerajaan terhad dan tidak melibatkan sektor swasta atau persendirian sedangkan golongan tersebut yang lebih ramai terkesan sehingga ada yang jadi gelandangan tiada tempat berlindung.

“Perkara ini sudah berlaku. Kita jumpa satu kes keluarga suami isteri dan dua anak. Isteri mengandung. Mereka kini terpaksa tinggal dalam kereta selepas tidak lagi mampu bayar sewa akibat hilang kerja semasa PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Biarpun kita sudah membantu keluarga tersebut namun kemampuan saya sangat terhad untuk membantu semua orang.

“Kerana itu saya cadangkan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memasukkan tabung khas tersebut dalam RUU Covid-9 yang akan dibentangkan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata dana bantuan itu perlu merangkumi peniaga yang tidak mampu membayar sewa kedai kesan pelaksanaan PKP sejak Mac lepas yang menjejaskan perniagaan.

Menurut Charles beliau akan membangkitkan cadangan itu semasa perbahasan selepas bacaan kali kedua RUU tersebut.

RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada minggu lepas.

Melalui undang-undang itu, kerajaan memperuntukkan RM45 bilion di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.

Pada hujung Mac lepas, kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran sewa bagi penyewa unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) selama enam bulan, berakhir September.

Selain itu, kerajaan mengecualikan bayaran sewa selama enam bulan kepada peniaga perusahaan kecil dan sederhana PKS bagi premis yang dimiliki oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Bagi meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana PKS kerajaan akan mengecualikan bayaran sewa atau memberi diskaun sewaan untuk peniaga PKS. – 11 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen