KERUSI Bandar Tun Razak kini menjadi rebutan selepas dua wakil rakyat PKR yang diberi kepercayaan untuk mewakilinya berpaling tadah.
Khalid Ibrahim yang menang pada untuk penggal kedua keluar parti selepas gerakan politik menjatuhkannya sebagai menteri besar Selangor pada 2014, sementara Kamaruddin Jaafar keluar PKR dalam gerakan menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada hujung Februari lalu.
Di sisi PH, kerusi itu menjadi rebutan di antara PKR dan Amanah manakala di pihak Perikatan Nasional (PN), ia direbut Umno dan MCA.
Umno sudahpun mula tanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) – kali pertama MCA beralah untuk memberi laluan kepada parti peneraju dalam Barisan Nasional (BN) itu.
Kini Amanah menyatakan hasrat untuk mengambil alih kerusi tersebut daripada PKR kerana percaya parti itu dapat menunjukkan prestasi lebih baik dengan calon yang lebih berintegriti.
Cabang PKR di kawasan itu pula berpendapat sebaliknya. Mereka tetap mahu meletakkan calon dan meragui kekuatan Amanah untuk memenangi kerusi itu.
Ketua cabangnya Azman Abidin berkata PKR menghormati hasrat Amanah dan akan merundingkan perkara itu namun tidak yakin dengan keupayaan jentera parti tersebut.
“Kalau untuk peringkat perundingan kita akan tengok apa kekuatan parti yang menawarkan diri untuk bertanding. Macam Amanah, apa kekuatan Amanah? Berapa cawangan yang mereka ada.
“Amanah tidak ada cawangan dan daripada segi kekuatan akar umbi Amanah tidak ada, ahli Amanah tak silap saya kurang dari 500 orang berbanding PKR hampir 6,000.
“Cuma bila ketua kawasan (Amanah) kata nak bertanding kita kena hormatlah, macam kita PKR tidak boleh marah bila mereka cadangkan perkara itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut hasrat Amanah Bandar Tun Razak untuk bertanding di kerusi Parlimen itu, Azman berkata perkara tersebut wajar diputuskan dalam Majlis Presiden jika tiada kata sepakat dicapai.
“Biasanya ia akan dirunding di peringkat Parlimen terlebih dahulu kalau tidak boleh selesaikan kita akan bawa ke peringkat negeri.
“Jika masih gagal selesai juga barulah kita akan bawa ke Majlis Presiden PH,” kata Azman.
Tegasnya, PKR memutuskan untuk meletakkan calon sekali lagi kerana yakin akan dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu sekali lagi dalam pilihan raya berdasarkan rekod baik parti itu.
Walaupun dua ahli Parlimen PKR di kawasan itu berpaling tadah, ia tidak menjejaskan kekuatan cabang tersebut, katanya yang turut tersenarai sebagai antara calon untuk kerusi tersebut.

Dua lagi yang dinamakan sebagai calon adalah Presiden PKR Anwar Ibrahim dan penasihat parti Dr Wan Azizah Wan Ismail, katanya.
PKR berjaya merampas kerusi tersebut daripada MCA apabila ditandingi Khalid pada 2008, yang turut menang kerusi negeri dan dilantik menjadi menteri besar Selangor.
Ia terus menjadi kubu kuat PKR apabila dimenangi Khalid sekali lagi buat kali kedua pada PRU13 dengan majoriti besar 11,832 undi.
Beliau bagaimanapun menjadi wakil rakyat bebas pada 2014 selepas dipecat kerana menentang atur gerak politik Langkah Kajang yang dicaturi presiden parti.
Atur gerak itu merupakan usaha menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
Azman menjelaskan, PKR bagaimanapun tetap dapat menang lebih besar pada 2018 walau bertanding tiga penjuru.
“Ikut rekod prestasi kita yang baik dari tahun 2008 hingga 2018 majoriti kita bertambah sekali ganda jadi kita rasa kita boleh pertahankan,” katanya.
Oleh itu beliau menegaskan cabang Bandar Tun Razak akan memastikan ia akan ditandingi PKR.
Kerusi dimenangi aktivis anti-ISA Kamaruddin pada 2018 yang seterusnya mengikut jejak langkah timbalan presiden PKR waktu itu menjadi wakil rakyat Bebas.
Tindakan dalam atur gerak Langkah Sheraton itu turut melibatkan tindakan Bersatu keluar PH, menyebabkan gabungan parti tersebut gagal menguasai majoriti Dewan Rakyat.
Bersatu dan puak Azmin seterusnya membentuk kerajaan bersama PAS, Umno dan Gabungan Parti Sarawak.
Melihat kepada perkembangan tersebut, Amanah bahagian Bandar Tun Razak berpendapat kerusi tersebut perlu dikuasai parti tersebut untuk menjaga hati pengundi.

Ketua bahagiannya Ir Hayatul Kamil berkata rata-rata pengundi Bandar Tun Razak kecewa dengan tindakan ahli Parlimen PKR itu yang lompat parti sehingga kerajaan PH runtuh.
“Suara pengundi Bandar Tun Razak dua kali wakil rakyat lompat parti dan ada masalah. Maka mereka kecewa dua penggal berlaku insiden ini.
“Sebab itu bagi menyuarakan citarasa pengundi, kita buat keputusan ini,” katanya.
Katanya, perkara itu masih belum dibincangkan secara rasmi dengan PH namun beliau yakin pemimpin tertinggi akan memberi peluang kepada Amanah untuk bertanding kawasan tersebut.
Beliau yakin Amanah berpeluang bertanding di sityu kerana tidak timbul isu kerusi tradisi memandangkan pertukaran kerusi adalah perkara biasa dalam satu pakatan parti.
“Amanah berkeyakinan PH akan beri perhatian, Amanah ada asas kuat tapi sekiranya ditolak kita akan akur dengan keputusan pimpinan.
“Tapi kita yakin akan diterima sebab tidak timbullah soal kerusi tradisi PKR, kalau sudah giliran Amanah lagi pun sebelum ini banyak juga pertukaran kerusi,” katanya.
Di sisi PN, Umno berpendapat kerusi itu dapat dimenangi jika mereka berpeluang menawarkan calon parti Melayu sekali lagi di kerusi tradisi MCA itu.
Ketua Umno bahagian itu Rizalman Mokhtar berkata mereka patut meletakkan calon berdasarkan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang dibentuk untuk PRU15, katanya.
Seterusnya, jika kerjasama politik dengan PN diteruskan maka peluang juga tetap harus diberikan kepada Umno berdasarkan kekuatan jentera parti itu, katanya.
Namun keadaan pada masa ini masih mengelirukan memandangan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan bersama dalam PN.
“Terbaru, kalau ikutkan kenyataan dikeluarkan presiden, Umno tidak akan bersama dengan PN.
“Dan kedudukan ahli Parlimen sekarang ini pun kita tidak tahu hala tuju. Beliau di bawah parti apa. Jadi Umno buat keputusan tidak bersama dengan PN bagi kerusi Bandar Tun Razak.
“Jika kerjasama Muafakat Nasional bersama dengan PAS untuk PRU15 ini maka wajar Umno diberi peluang sekali lagi begitu juga dengan BN,” katanya.
Oleh itu mereka akan berpandukan kepada persefahaman di peringkat tertinggi, kata Rizalman.
“Kita kena tengok juga apa persefahaman parti di peringkat pusat. Apa gabungan yang ada,” katanya.
Jelasnya, perbincangan rasmi mengenai pembahagian kerusi juga masih belum dilakukan.
“Umno dan MCA belum ada perbincangan. Kita tak ada sebarang rundingan lagi dalam konteks BN dan MN. Yang ada sekarang cuma gerak kerja bersama dengan ahli Parlimen atas semangat PN.
“Namun jika parti memutuskan kerjasama PN maka ahli Parlimen yang ada sekarang akan terkeluar dari kumpulan dengan Umno,” katanya.
Ditanya mengenai calon pula, Rizalman mendedahkan beliau sendiri tersenarai selain bekas calon PRU14 lepas, Adnan Seman dan ketua wanita bahagian. – 12 Ogos, 2020.
Komen