IPCC akan ganti cadangan tubuh IPCMC, kata Hamzah Zainuddin


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

KERAJAAN akan membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) di Dewan Rakyat, menggantikan rang undang-undang yang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditangguhkan pada tahun lepas, kata Hamzah Zainuddin.

Rang undang-undang baharu itu, yang menggugurkan perkataan “salah laku”, akan dibentangkan pada 26 Ogos ini, kata Menteri Dalam Negeri.

“Kita akan bentang RUU IPCC. Kita akan pastikan dapat kelulusan dari Parlimen untuk tubuhkan suruhanjaya baru,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Hamzah enggan memperincikan butiran suruhanjaya yang dicadangkan itu, sebaliknya hanya berkata ia melibatkan beberapa penambahbaikan daripada cadangan penubuhan IPCMC.

“Insyallah, penambahbaikan kita lakukan supaya boleh ambil tindakan tegas terhadap polis salah guna kuasa,” katanya.

Beliau juga berkata penubuhan IPCMC sebelum ini diletakkan di bawah kendalian menteri undang-undang tetapi sekarang dipindahkan ke Kementerian Dalam Negeri.

Kerajaan pentadbiran Pakatan Harapan menangguhkan bacaan kedua dan ketiga RUU IPCMC 

“Dahulunya RUU di menteri undang- undang dan sekarang di bawah KDN supaya saya boleh pantau apa berlaku,” katanya.

RUU IPCMC dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Julai 2019 dan bacaan kali kedua pada Oktober 2019. Ia bagaimanapun ditangguhkan untuk dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-undang bagi perbincangan lebih teliti.

IPCMC bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan pasukan polis. 

Ia juga bertindak sebagai badan pemantau bebas bagi menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Ia bagaimanapun dibantah oleh Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ketika itu menjadi pembangkang, susulan bantah daripada segelintir dalam pasukan polis dan bekas polis.– 10 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen