LONJAKAN kes di kluster Sivagangga dan Kurau adalah berpunca daripada aktiviti kunjung mengunjung terutama pada musim perayaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.
“Siasatan yang dilakukan melalui pengesanan kontak aktif serta pemeriksaan yang dilakukan dengan kontak rapat menunjukkan bahawa sebahagian besar jangkitan Covid-19 di kedua kluster ini disebabkan oleh aktiviti lawatan pada musim perayaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Kedua-dua kluster itu juga menyaksikan jangkitan tersebar di kalangan ahli keluarga yang merangkumi warga emas dan kanak-kanak berumur dua tahun.
Dr Noor Hisham berkata walaupun aktiviti kunjung mengunjung sekarang diizinkan, adalah penting untuk mengamalkan penjarakan sosial walaupun di kalangan ahli keluarga atau saudara-mara.
Beliau menambah bahawa individu yang tidak sihat atau tidak simptomatik harus menghindari semua bentuk perjumpaan atau perayaan.
Beliau juga menasihati orang ramai untuk memakai topeng muka ketika berkunjung di mana penjarakan fizikal tidak berlaku, selain sentiasa amalkan cuci tangan.
Sementara itu, tiga lagi kes berkaitan kluster Kurau telah dilaporkan hari ini.
Indeks kes mempunyai hubungan rapat dengan tiga kes baharu semasa aktiviti ziarah ketika Hari Raya Aidiladha 30 Julai lalu.
Sehingga kini, terdapat lima kes positif dalam kluster tersebut dan 125 orang telah disaring.
Berhubung kluster Sivagangga yang menyaksikan 5227 orang telah disaring, namun ketika ini hanya 45 kes positif dikesan di tiga negeri di bahagian utara tanah air, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Noor Hisham turut menambah bahawa Institut Penyelidikan Perubatan sedang mengkaji genomik varian virus kluster Sivagangga bagi menentukan sama ada ia termasuk dalam kategori penyebar aktif.
Penemuan itu, katanya, dijangka akan diketahui dalam tempoh seminggu. – 10 Ogos, 2020.
Komen