19 kes pulih, 11 kes baharu Covid-19 dicatat


Ragananthini Vethasalam

11 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, enam daripadanya disebarkan melalui penularan tempatan sementara lima kes adalah daripada mereka yang kembali dari luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2020.

MALAYSIA melaporkan sembilan belas pemulihan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah kes aktif menurun kepada 166 orang daripada 174 semalam, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata dengan penambahan 19 kes pulih, jumlah pemulihan jangkitan Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 8803.

Beliau turut berkata bahawa dari 11 kes baharu yang dilaporkan hari ini, enam daripadanya disebarkan melalui penularan tempatan sementara lima kes adalah daripada mereka yang kembali dari luar negara, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 9094 kes.

Dr Noor Hisham berkata, lima dari enam kes yang merupakan kes penularan tempatan melibatkan warga Malaysia.

Tiga lagi jangkitan adalah berkaitan dengan kluster Kurau di Perak.

Beliau berkata satu kes dikesan di Melaka semasa pemeriksaan pra-kemasukan di hospital sementara satu lagi dikesan di Johor semasa pemeriksaan pra-pembedahan.

Satu-satunya kes penularan tempatan melibatkan warga asing dikesan di Selangor, semasa pemeriksaan di tempat kerja pesakit.

Sementara itu, lima jangkitan merupakan kes import, melibatkan warga Malaysia.

Tidak ada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan angka kematian masih sebanyak 125 kes. Hanya seorang pesakit yang masih dirawat di unit rawatan rapi. – 10 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen