REPUTASI Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi percutian terbaik memang tidak boleh disangkal lagi, namun pulau itu kini cuba menjadi salah satu tarikan utama negara dalam penganjuran acara perniagaan.
Untuk pelaksanaan ini, para pemain industri berkata kerajaan negeri dan syarikat-syarikat swasta perlu berganding bahu memulihkan imej pelancongan Pulau Pinang kepada persekitaran perniagaan yang boleh menarik minat pelabur.
Martin Lewis, Pengarah Urusan CAT Publications, iaitu pakar acara antarabangsa berkata kerajaan negeri perlu bermula dengan menganjurkan lawatan pengenalan kepada penganjur-penganjur konvensyen utama supaya mereka dapat melihat apa yang ada di Pulau Pinang.
“Jemput mereka ke bandar anda dan wujudkan kelompok pengetahuan yang akan menarik minat pelabur, buka syarikat dan cipta peluang pekerjaan,” kata Lewis pada persidangan BE @ Penang 2017 di Pusat Konvensyen Setia SPICE, semalam.
Kaedah ini juga sesuai dalam konteks MICE (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran), kerana pengembara perniagaan - sama ada mereka itu usahawan, pelabur, pelajar atau lain-lain - boleh mendapatkan peluang melihat peluang di masa hadapan semasa berada di Pulau Pinang.
Dengan menyebut London sebagai contoh, Lewis berkata kota itu memperkenalkan ‘London Tech Week’ (Minggu Teknologi London) ketika ia mula mahu memasuki perniagaan teknologi, dan menganjurkan 63 persidangan sepanjang minggu itu tahun lepas.
“Biro konvensyen London menaja dan memberi insentif kepada para penganjur untuk memindahkan acara mereka ke bandar dan supaya syarikat-syarikat menghadiri minggu teknologi itu.
“Jadi, kepada mereka yang ingin menubuhkan syarikat teknologi, boleh merujuk London sebagai tempat yang berkaitan dengan apa sahaja tentang teknologi,” katanya. – 8 Disember, 2017.
[Berita penuh di sini]
Komen