KERAJAAN Perikatan Nasional setakat ini sudah melantik 15 ahli politik sebagai ahli lembaga dan ketua syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF), kata Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis Parlimen.
Mengetuai dalam senarai itu adalah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Khazanah Nasional Bhd dan Yayasan Pelaburan Bumiputera.
Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali merupakan pengarah di lembaga Khazanah.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu-PH) mengenai pelantikan ahli politik ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun di bawah pentadbiran PN.
Ahli Parlimen lain yang diberi jawatan tersebut termasuk Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) yang merupakan Pengerusi Amanah Raya dan Hasbullah Othman (Gerik) yang mengetuai Syarikat Perumahan Negara Bhd.
Mahdzir Khalid (Padang Terap) merupakan pengerusi Tenaga Nasional Bhd dan bekas ketua Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Hassan Arifin (Rompin) mengetuai Pengurusan Aset Air Bhd.
Jalaluddin Alias (Jelebu) dilantik sebagai pengerusi UDA Holdings Bhd dan jawatan pengerusi Bernas diberikan kepada Rohani Abdul Karim (Batang Lupar).
Anggota Majlis Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) mengetuai Prasarana Malaysia Bhd sementara Zakaria Mohd Edris (Libaran) merupakan pengerusi Perbadanan Nasional Bhd.
Johnie Zawawi (Igan) dari Sarawak mengetuai Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang mengawasi pengurusan sampah di Semenanjung.
Kementerian itu berkata Noh Omar (Tg Karang) dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan Sabri Azit (Jerai) sebagai pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
Seorang lagi ahli Majlis Tertinggi Musa Sheikh Fadzir merupakan pengerusi JKP Sdn Bhd sementara ahli jawatankuasa pusat PAS Mohamad Husain berada di badan lembaga Felcra.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Adun Juhari Bulat dilantik ke badan berkanun.
Kementerian berkata pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan kepakaran di bidang masing-masing sambil menambah bahawa elaun serta insentif yang diberikan bergantung pada kemampuan syarikat. – 10 Ogos, 2020.
Komen