SEJUMLAH 850 penumpang warga Perancis yang menaiki kapal persiaran dilanda wabak Covid-19 yang dihalang berlabuh oleh pelbagai pelabuhan pada Mac memfailkan saman kolektif di Paris dengan 180 pertuduhan termasuk pembunuhan tanpa niat, terhadap Costa Cruises, kata peguam mereka pada Ahad.
Saman kelas itu yang turut meliputi aduan keluarga tiga penumpang yang maut kerana Covid-19, menuduh gergasi pelayaran Itali itu cuai dan pelbagai kesalahan lain ketika perjalanan mereka menaiki Costa Magica.
Daripada 6 Mac sehingga 12 Mac, kapal itu dilarang berlabuh di kebanyakan pulau Caribbean yang dilawatinya, termasuklah di Trinidad and Tobago, Grenada, Barbados dan Saint Lucia.
Disebabkan gagal berlabuh, anak kapal menggalakkan penumpang menggunakan kedai, spa, restoran dan kasino dalam kapal tanpa menguatkuasa langkah pencegahan kesihatan sepatutnya- atau memaklumkan mereka wujud kes jangkitan atas kapal- kata pengadu dalam saman itu.
Kakitangan kapal “bersalah, penumpang tiada maklumat dan hanya mengetahui daripada media tempatan yang terdapat kes (Covid-19) dalam kapal,” kata peguam Philippe Courtois, yang mewakili secara kolektif 850 penumpang warga Perancis, kepada AFP.
Courtois turut mengecam langkah pencegahan wabak “yang terlalu longgar” dalam kapal.
“Ia sepatutnya jadi pelayaran impian, tetapi berakhir tragedi,” katanya.
Costa Cruises, yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Carnival, menggantung semua pelayaran di seluruh dunia sehingga 15 Ogos kerana pandemik itu. – AFP, 10 Ogos, 2020.
Komen